BELANJAWAN 2025 > BERITA

Indonesia Rancang Kenalkan Pertanian Efisien Air Untuk Tingkatkan Pengeluaran Padi

06/01/2025 12:46 AM

JAKARTA, 5 Jan (Bernama-ANTARA) -- Kerajaan Indonesia merancang untuk memperkenalkan teknik pengairan padi efisien air (IPHA) ke semua sawah padi di seluruh negara, susulan kejayaan projek rintis di Cirebon, Jawa Barat, menurut Menteri Kerja Raya, Dody Hanggodo seperti dilaporkan oleh agensi berita ANTARA.

Dalam kenyataan pada Ahad, teknik IPHA digambarkan sebagai kaedah penanaman padi yang menitikberatkan pengurusan tanaman, air, dan tanah secara berkesan dan efisien, selain meningkatkan produktiviti dan pendapatan petani.

Hanggodo menekankan bahawa pelaksanaan teknik pengairan ini telah berjaya meningkatkan pengeluaran padi dengan penggunaan air yang lebih rendah di kawasan pengairan Rentang di Cirebon.

"Kami merancang untuk melaksanakan IPHA di seluruh Indonesia kerana teknik ini membolehkan petani mencapai hasil maksimum sambil menjimatkan air. Saya yakin kita akan berjaya," katanya ketika meninjau kawasan pengairan itu pada Sabtu.

Susulan kejayaan projek rintis IPHA di Rentang, kerajaan merancang untuk memperluaskan inisiatif itu ke kawasan seluas kira-kira 2,000 hektar di kawasan pengairan Kamun, Majalengka, Jawa Barat, katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Sumber Air di Kementerian Kerja Raya, Bob Arthur Lombogia  menekankan pelaksanaan teknik IPHA menawarkan pelbagai manfaat, termasuk mengurangkan penggunaan air sehingga 30 peratus.

Beliau juga menyatakan kaedah ini membolehkan petani menyimpan air untuk plot tanaman lain semasa musim kering.

"Kaedah ini menjimatkan kos, hanya memerlukan 10 kilogram benih bagi setiap hektar," katanya, sambil menambah bahawa teknik ini juga mempercepatkan masa tuaian dan dapat meningkatkan pengeluaran padi kepada 11 tan sehektar.

Seorang petani tempatan, Sunaryo, mengakui bahawa penggunaan teknik IPHA sejak setahun lepas telah meningkatkan hasil tuaiannya dengan ketara.

"Teknik IPHA telah meningkatkan hasil tuaian saya daripada 8.4 tan sehektar kepada antara 9.8 tan hingga 10.5 tan sehektar," katanya.

--BERNAMA-ANTARA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan