Terbiasa dengan wasap ekzos kenderaan dan hiruk-pikuk di celah-celah belantara konkrit bernama Kuala Lumpur menjadikan penulis seperti rusa masuk kampung apabila dihidangkan kehijauan rimba tropika dan disenandungkan oleh pelbagai unggas yang mendiami Taman Negara Mulu.
Di kejauhan, Gunung Mulu yang mendominasi taman seluas 52,864 hektar ini, megah mencapai awan dengan ketinggian 2,736 meter. Bukan itu sahaja, puncak ini juga melitupi kompleks gua sepanjang 295 kilometer (yang diteroka setakat ini) dan terkenal dengan pemandangan menakjubkan serta kekayaan kepelbagaian biologi, antaranya burung layang-layang gua dan kelawar.
Berstatus Tapak Warisan Dunia UNESCO, taman ini menjadi tumpuan penyelidik yang dambakan ilmu serta pengunjung yang ingin berehat ataupun melakukan pelbagai aktiviti lasak, baik di ngarai yang dalam dan bertakuk atau sungai-sungai deras.
Diundang menyertai Program Makan Malam Bersama Media dan Exploring Mulu Sarawak anjuran Lembaga Pelancongan Sarawak, penulis bersama-sama dengan 21 wakil media lain termasuk dari Perancis, Brunei Darussalam dan Indonesia, dibawa meneroka Taman Negara Mulu dari 5 hingga 10 Dis lalu.
KAMPUNG PENAN
Kehijauan pokok menyambut ketibaan kami sebaik sahaja penerbangan dari Kuching mendarat di Lapangan Terbang Mulu yang dikelilingi rimba.
Tidak lama di situ, kami dibawa ke tempat penginapan di Mulu Marriot Resort & Spa yang terletak di tebing Sungai Melinau, berhampiran dengan sempadan Malaysia dan Brunei Darussalam. Dalam perjalanan kira-kira 20 minit itu, kami turut melintasi perkampungan masyarakat Penan.
pic-2
Di sebalik arus kemodenan yang dinikmati masyarakat itu, masih bersisa aspek tradisional yang dipertahankan mereka di perkampungan berkenaan, terutama dari segi adat resam dan cara hidup.
Menurut pemandu pelancong kami Henry Lah Lucin yang juga anak Penan, hanya terdapat dua kampung suku kaum itu di Mulu, iaitu Kampung Long Iman dengan kira-kira 400 penduduk dan Kampung Batu Bungan yang didiami oleh 360 orang.
Selepas berehat seketika di tempat penginapan, hari pertama kami di Taman Negara Mulu diteruskan dengan meneroka dua daripada empat buah gua yang terkenal di situ, iaitu Gua Rusa dan Gua Lang, terletak kira-kira 15 minit menaiki kenderaan dari resort.
Dipandu oleh Henry, kumpulan kami menapak sejauh tiga kilometer dari Pejabat Taman Negara Mulu ke Gua Rusa. Kehijauan hutan dara tropika yang sarat dengan pelbagai spesies flora dan fauna jarang ditemukan di tempat lain melekakan penulis.
Sebaik tiba di mulut gua, penulis diselubungi rasa kagum melihat anugerah alam itu. Kadar pencahayaan yang terhad menjadikan Gua Rusa sepanjang lebih dua kilometer ini habitat kelawar pelbagai spesies. Namun, tidak seperti di dalam filem apabila kawanan kelawar berpusu-pusu terbang keluar tatkala mengesan kehadiran manusia, kami kempunan untuk menyaksikan fenomena yang dipanggil “eksodus kelawar" itu.
pic-5
Akan tetapi kehampaan kami terubat semasa di Gua Lang. Didominasi oleh formasi stalaktit dan stalagmit pelbagai saiz, gua ini memberikan pemandangan luar biasa, terutama buat peminat geopelancongan.
Bagi menikmati pengembaraan dengan lebih selesa, pengunjung dinasihatkan agar membawa lampu suluh, baju hujan dan air minuman selain mengenakan pakaian bersesuaian termasuk kasut dengan tapak getah.
SUMPIT, GUA ANGIN & GUA AIR JERNIH
Hari kedua, seawal 8 pagi kami sudah menyusuri Sungai Melinau, menaiki bot panjang yang dikemudi oleh penduduk tempatan. Destinasi kami ialah sebuah pasar suku kaum Penan di tebing sungai itu.
Ketibaan kami di pasar Kampung Batu Bungan disambut mesra oleh masyarakat Penan yang menjual pelbagai barangan kraf, hasil kerja tangan mereka.
pic-3
Henry membawa kami berjumpa bapanya Lucin Jeluman, seorang pembuat sumpit tradisional.
“Biasanya sumpit diperbuat daripada kayu belian sebab kayu ini sangat keras. Untuk siapkan sebatang sumpit, biasanya ambil masa tiga hari,” kata Lucin, menambah beliau mendapatkan bekalan kayu untuk pembuatan sumpit daripada hutan di taman negara itu.
Usai membeli cenderamata kenangan untuk dibawa pulang, kami kembali menaiki bot panjang, kali ini menuju Gua Angin.
Dinamakan sedemikian kerana menurut Henry, ada tiupan angin yang dapat dirasakan di sebuah laluan sempit di dalam gua itu yang seterusnya membawa pengunjung ke ruang lapang seakan-akan sebuah galeri yang sarat dengan karya geologi stalagmit dan tiang batu kapur, dipanggil King’s Room.
Kembara kami bersambung di Gua Air Jernih yang mengambil masa lima minit menaiki bot panjang dari Gua Angin.
Merupakan gua terpanjang di Asia, iaitu sejauh 107 kilometer dari muka ke dalam perut gua, karya ciptaan alam ini mempunyai sistem sungai bawah tanah.
Dari kejauhan sudah kedengaran deruan arus sungai, menjadi halwa telinga yang menyamankan buat pengunjung selepas mendaki hampir 200 anak tangga dan berjalan di atas laluan berpapan sebelum tiba di mulut gua.
Biasan kelamayar seakan lampu neon yang bergemerlapan, menggamit pengunjung untuk merakam memori menggunakan kamera telefon pintar.
Persis namanya, kejernihan air sungai di dalam perut gua itu bagaikan kaca lut sinar dan memberikan suasana dingin yang begitu menyamankan.
JAMBATAN KANOPI TERPANJANG
Berjalan di atas jambatan kanopi terpanjang di dunia, merentasi jarak sejauh 480 meter dengan ketinggian 20 meter dari lantai hutan, menjadi agenda terakhir kami dalam program ke Taman Negara Mulu itu.
Sukar hendak digambarkan perasaan tatkala kaki memijak lantai jambatan yang dibina melintasi rimbunan pepohon itu dan sesekali turut berayun walaupun penyokong struktur dipasak pada pokok saka seperti meranti, ara dan tapang.
Sayup-sayup di bawah, air sungai mengalir tenang. Meskipun gementar, matlamat penulis untuk singgah di semua tujuh hentian jambatan itu dapat dipenuhi.
pic-4
Menyaksikan pemandangan hutan dari atas puncak rimbunan pokok sememangnya memberikan perspektif yang berbeza dan selayaknya menjadi agenda penutup kembara kami di taman negara itu.
Kembara yang singkat, namun penulis puas dapat menyaksikan keindahan alam yang tidak ada tolok bandingnya. Keunikan muka bumi serta keanekaragaman fauna dan flora yang hanya ditemukan di Taman Negara Mulu ini merupakan khazanah negara yang perlu dipelihara dan dipertahan.
Bagi pencinta alam dan penggiat sukan lasak pula, Taman Negara Mulu merupakan destinasi yang harus dikunjungi.
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial