BELANJAWAN 2025 > BERITA

Jabatan Penjara Tidak Terima Perintah Benar Najib Jalani Tahanan Di Rumah - Saifuddin Nasution

06/01/2025 05:54 PM

PUTRAJAYA, 6 Jan (Bernama) -- Jabatan Penjara tidak pernah menerima sebarang perintah daripada Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya untuk membenarkan Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki tempoh hukuman penjaranya di rumah, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata pada 2 Feb tahun lepas, Jabatan Penjara hanya menerima minit mesyuarat dan perintah untuk melaksanakan keputusan mesyuarat lembaga tersebut yang diputuskan pada 29 Jan 2024.

Saifuddin Nasution berkata perintah yang ditandatangi Yang di-Pertuan Agong ke-16 Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan disaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa itu, hanya mengarahkan Jabatan Penjara untuk memendekkan tempoh hukuman penjara Najib kepada 23 Ogos 2028 dan mengurangkan denda ke atasnya kepada RM50 juta.

Perintah itu juga menyebut sekiranya denda tidak dibayar, tempoh penjara bagi Najib akan ditambah selama setahun dengan tarikh pembebasan beliau pada 23 Ogos 2029.

“Surat yang Jabatan Penjara terima tidak ada menyebut tentang tahanan di rumah. Jadi sebagai Jabatan melaksanakan perintah ini, Jabatan Penjara harus amanah dalam melaksanakan perintah ini.

“Adalah penting untuk menjelaskan bahawa KDN dan Jabatan Penjara tidak menyembunyikan sebarang keputusan Lembaga Pengampunan atau gagal mematuhinya...kami hanya melaksanakan perintah yang sahih dan rasmi, seperti yang diterima,” katanya pada sidang media khas di sini hari ini.

Saifuddin Nasution turut mengesahkan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan yang diterima pihaknya tidak mengandungi apa-apa arahan atau maklumat mengenai tahanan rumah.

“Dengan penjelasan ini, saya harap dapat memperjelaskan bahawa KDN telah melaksanakan sepenuhnya titah Tuanku (Al-Sultan Abdullah), seperti yang diarahkan melalui perintah rasmi Lembaga Pengampunan.

“Sebarang dakwaan yang mengatakan sebaliknya adalah tidak benar," katanya.

Terdahulu, Mahkamah Rayuan di sini dalam majoriti 2-1 telah mengembalikan kes berkaitan dakwaan Najib mengenai kewujudan Titah Addendum Diraja yang akan membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara enam tahun secara tahanan di rumah, kepada Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan mengenai meritnya.

Najib, 71, sedang merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Julai tahun lepas, yang menolak permohonannya untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman terhadap Titah Adendum itu yang dikatakan dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan