BELANJAWAN 2025 > BERITA

MCMC Laksana Kajian Pelaksanaan NAS Untuk Pengurusan Alamat Yang Seragam

06/01/2025 06:46 PM

KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) -- Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang giat menjalankan Kajian Pelaksanaan Sistem Alamat Nasional (NAS) yang bertujuan membentuk rangka sistem pengalamatan yang berautoritatif, seragam dan bersepadu di peringkat kebangsaan.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata apabila siap sepenuhnya, NAS akan menjadi sistem tunggal bagi sumber alamat yang autoritatif dan diiktiraf oleh kerajaan sebagai rujukan utama untuk mengurus lebih daripada 12 juta alamat di seluruh negara, melalui kerjasama erat bersama pelbagai pihak berkepentingan.

“Dengan pelaksanaan sistem NAS, kita tidak lagi perlu bergantung kepada kaedah tradisional seperti mengenal pasti alamat berdasarkan warna bumbung rumah, nombor tiang elektrik atau tanda perbatuan.

“Usaha pembangunan NAS ini ialah langkah strategik kerajaan untuk melindungi kedaulatan data geospatial negara, dengan memastikan data alamat diuruskan secara domestik, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada teknologi luar,” katanya ketika berucap pada majlis pertukaran dokumen perjanjian Inisiatif Kampung Digital Melaka (KDM) dengan Kerajaan Melaka, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Pengerusi MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

Fahmi berkata Malaysia menghadapi cabaran besar dalam pengurusan alamat yang tidak berstruktur dan tidak seragam, khususnya di kawasan luar bandar, kampung tradisional dan kawasan bandar yang padat.

Beliau berkata ketiadaan sumber alamat berautoritatif yang diiktiraf oleh kerajaan sebagai rujukan utama, menyebabkan data alamat diuruskan secara berasingan oleh pelbagai agensi telah membawa kepada kebergantungan kepada teknologi luar, ketidakcekapan dalam penyampaian perkhidmatan awam dan kelemahan dalam menyokong kepada ekonomi digital.

Fahmi berkata dianggarkan lebih daripada RM700 juta dibelanjakan setiap tahun untuk perkhidmatan geospatial dan navigasi utama dari luar negara, yang menyebabkan ketirisan kepada pendapatan negara dan meningkatkan risiko terhadap pengurusan maklumat infrastruktur kritikal negara (NCII) akibat ketiadaan sistem alamat yang bersepadu.

“Kementerian Komunikasi menyedari kelompongan ini dan kepentingan pengurusan alamat yang bersepadu dalam memacu ekonomi digital negara, termasuk sektor e-dagang, logistik dan pembangunan bandar pintar.

“Selaras dengan Seksyen 57 Akta Perkhidmatan Pos 2012 [Akta 741], MCMC diberi punca kuasa untuk membangun, mengawal, melaksana, menyelenggara dan mengurus sistem poskod serta pengalamatan di Malaysia,” katanya.

Fahmi berkata Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Industri Revolusi Keempat (MED4IRN) yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 24 Jun, telah secara dasarnya bersetuju dengan pelaksanaan NAS.

Beliau berkata NAS juga telah dikenal pasti sebagai ‘needle mover’ di bawah Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan Dasar 4IR Negara, untuk merealisasikan aspirasi kerajaan menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi yang berteraskan pendigitalan serta peneraju serantau dalam ekonomi digital.

Dalam menjayakan misi NAS itu, Fahmi berkata kementerian melalui MCMC telah memulakan kerjasama strategik dengan pelbagai agensi, termasuk pihak berkuasa tempatan, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), serta pemain industri geospatial tempatan.

“Kerjasama ini bertujuan membangunkan perkhidmatan geospatial untuk alamat dan jalan, yang dijangka memberi manfaat besar kepada sektor kurier, logistik, penyampaian awam dan pertahanan negara,” katanya.

Terdahulu, Fahmi dan Ab Rauf menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian inisiatif KDM antara MCMC yang diwakili Mohamad Salim dengan Kerajaan Melaka yang diwakili Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Azhar Arshad.

Inisiatif Kampung Digital ialah hasil cetusan Ab Rauf dengan matlamat mengatasi isu ketiadaan alamat rumah yang jelas dan berstruktur di kawasan kampung, dengan memanfaatkan teknologi pemetaan geospatial dan kod QR bagi mewujudkan sistem pengalamatan yang moden dan sistematik.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan