BELANJAWAN 2025 > BERITA

Proton Akhiri 2024 Dengan Prestasi Cemerlang, Berjaya Jual 152,352 Unit Kenderaan

06/01/2025 10:05 PM

KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) -- Proton Holdings Bhd menamatkan tahun 2024 dengan mencatat jualan tertinggi selepas berjaya menjual 14,601 unit kenderaan pada Disember, peningkatan 19.7 peratus berbanding bulan sebelumnya dan merupakan angka jualan kedua tertinggi untuk tahun itu.

Proton mencatat jualan sebanyak 152,352 unit (domestik dan eksport) bagi keseluruhan 2024, menjadikan pengeluar kereta nasional itu berada di tempat kedua sekali lagi dalam carta jualan.

“Prestasi cemerlang ini dicapai selepas persaingan sengit selama 12 bulan untuk jenama automotif nasional daripada pengeluar kenderaan asal baharu dan model-model yang menyasarkan kumpulan pelanggan yang sama dan semasa tahun yang mana Proton telah beralih kepada kenderaan elektrik (EV) dengan pelancaran model pertamanya, Proton e.MAS 7,” kata pengeluar kereta nasional itu dalam satu kenyataan.

Proton Saga menutup tirai 2024 sebagai model Proton terlaris dengan 72,769 unit terjual, meningkat 3.7 peratus berbanding 2023.

Model sedannya, Proton S70 menamatkan tahun penuh pertama pengeluaran dan jualannya dengan sejumlah 19,182 unit dihantar pada 2024, menjadikannya sedan segmen C paling popular di negara ini.

Proton X50 2024 mendapat sambutan menggalakkan dengan jumlah tempahan sebanyak 8,000 unit, menyerlahkan daya tarikan produknya yang kukuh dalam pasaran SUV yang kompetitif.

 “Jualan pada Disember meningkat 36.8 peratus berbanding bulan sebelumnya dengan 2,614 unit terjual, manakala bagi 2024, jumlah jualan mencapai 23,647 unit, menjadikannya SUV segmen B terlaris untuk tahun keempat berturut-turut,” tambahnya.

Proton X70 2025 terus mendapat sambutan yang baik daripada pembeli dengan 8,992 unit dihantar pada 2024. Jualan Disember melonjak 36.7 peratus kepada 1,456 unit berbanding 1,065 unit pada November, dipacu oleh promosi hujung tahun.

Sementara itu, model utama dalam rangkaian, Proton X90 melengkapkan tahun pertama jualannya sebagai peneraju jualan SUV segmen D dengan 3,553 unit terjual.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Roslan Abdullah berkata menuju ke tahun 2025; “Kami akan terus memperkukuhkan kedudukan Proton Saga sebagai pilihan utama pelanggan, sementara kejayaan Proton X50 dan Proton X70 membuktikan minat yang tinggi terhadap SUV premium kami.”

“Semua ini adalah pencapaian positif untuk dibawa ke tahun baharu dan kami berharap dapat mengembangkan syarikat selaras dengan nilai teras jenama kami iaitu inovasi, kebolehpercayaan dan antarabangsa,” katanya sambil menambah Proton telah mencapai kemajuan yang ketara dalam perniagaan eksport pada 2024 walaupun terdapat cabaran yang dihadapi di beberapa pasaran.

“Kami kekal sebagai peneraju jumlah eksport automotif dari Malaysia dan dengan bermulanya operasi CKD di Mesir serta aktiviti mengeksport model baharu ke pasaran lain, kami yakin dapat mempercepatkan pertumbuhan jumlah eksport pada tahun-tahun akan datang,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan