BELANJAWAN 2025 > BERITA

Agong Terima Menghadap PM Singapura Di Istana Negara

07/01/2025 10:57 AM

KUALA LUMPUR, 7 Jan (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong di Istana Negara, di sini. 

Turut hadir pada pertemuan yang berlangsung di Dewan Seri Mahkota kira-kira satu jam itu ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Wong yang dalam lawatan rasmi dua hari beliau bersempena Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-11 hari ini, tiba bersama delegasi di Istana Negara kira-kira 8.30 pagi.

Beliau ditemani isterinya Loo Tze Lui bersama delegasi tiba di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pada 6.15 petang semalam.

Ini merupakan lawatan kali kedua Wong ke Malaysia sejak menjawat jawatan itu pada 15 Mei 2024, dengan lawatan pertamanya pada 11 Jun tahun lepas.

Perdana Menteri Singapura itu hari ini akan diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya diikuti mesyuarat delegasi Pemukiman Pemimpin bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Wisma Putra dalam satu kenyataan pada Ahad memaklumkan kedua-dua pihak dijangka menilai kemajuan hubungan dua hala Malaysia-Singapura, serta membincangkan isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

Kedua-dua pemimpin juga dijadual menyaksikan pertukaran Perjanjian Bersama Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), enam Memorandum Persefahaman (MoU) dan satu Surat Niat (LOI) mengenai pendidikan, wanita dan kebajikan sosial, perubahan iklim, penangkapan dan penyimpanan karbon, pembangunan bandar serta usaha memerangi jenayah rentas sempadan.

JS-SEZ bertujuan membawa manfaat bersama kepada perniagaan dan orang ramai daripada kedua-dua pihak, termasuk meningkatkan aliran barangan dan orang ramai, menambah baik kemudahan menjalankan perniagaan dan menyokong pembangunan bakat.

Sebagai jiran rapat dan anggota pengasas ASEAN, Malaysia dan Singapura menjalin hubungan erat dan meluas dalam pelbagai bidang.

Kedua-dua negara kekal sebagai rakan dagang kedua terbesar antara satu sama lain, dengan jumlah dagangan dua hala mencecah US$78.59 bilion (RM360.12 bilion) dari Januari hingga November 2024, meningkat sebanyak 6.7 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2023.

Tahun ini juga merupakan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan