BELANJAWAN 2025 > BERITA

Sekolah Terbakar: Murid SJKT Ladang Ayer Tawar Jalani PdPR - Exco

07/01/2025 03:01 PM

MANJUNG, 7 Jan (Bernama) -- Murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Ayer Tawar dekat Sitiawan akan menjalani sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) bermula esok, susulan kebakaran di bangunan sekolah itu semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi negeri A. Sivanesan berkata 32 murid terlibat dengan pelaksanaan PdPR itu sehingga tamat sesi persekolahan pada Jumaat depan. 

"Kita juga menunggu laporan lengkap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) mengenai soal keselamatan dan kerosakan yang dijangka diperoleh dalam masa terdekat," katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke sekolah itu hari ini. 

Pada kejadian semalam, bangunan sekolah berusia 87 tahun itu musnah hampir 70 peratus dalam kebakaran yang merebak sehingga bahagian bumbung bangunan yang melibatkan tiga kelas, sebuah makmal sains, sebuah stor dan kantin sekolah. 

Sementara itu, Sivanesan berkata pembinaan bangunan baharu sekolah itu telah siap, namun masih menunggu sijil layak menduduki (CF) daripada pihak berkuasa berkaitan. 

Beliau berkata perkara itu telah mendapat perhatian Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad untuk dipercepat yang diharapkan akan membolehkan pelajar menggunakan bangunan baharu pada sesi persekolahan tahun ini.  

Sivanesan juga memaklumkan semua murid sekolah itu akan menerima bantuan tambahan khas RM200 daripada Ahli Parlimen Beruas selain bantuan awal persekolahan RM150 bagi membeli peralatan persekolahan. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan