Oleh Mikhail Raj Abdullah dan Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 7 Jan (Bernama) -- Angka kerugian mencecah RM54 bilion setahun yang ditanggung rakyat Malaysia akibat kes penipuan dalam talian bukan setakat mengejutkan, malah membimbangkan lebih-lebih lagi jumlah itu mewakili kira-kira tiga peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Penipuan kewangan sedemikian juga memberi impak besar apabila dibandingkan dengan peruntukan disediakan bagi penjagaan kesihatan (RM45.3 bilion) selain prasarana awam (RM9.3 bilion).
Jenayah senyap yang menjejaskan ekonomi di serata dunia itu tidak hanya melibatkan individu, namun secara ketara turut memberi kesan berganda yang boleh merencatkan ekonomi.
Sebagai nadi sektor pembuatan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) khususnya yang pertama kali menceburi bidang perniagaan, perlu berwaspada dengan ancaman jenayah penipuan atau “scam” berkenaan.
Lebih membimbangkan, kelompok pelaku jenayah terancang turut menyertai deretan penipuan dalam talian yang dilihat menjadi lubuk perniagaan amat menguntungkan.
Kumpulan sindiket ini dengan liciknya mewujudkan “zon ekonomi khas” bagi lubuk jenayah penipuan dalam talian ini di bandar-bandar di sempadan Myanmar dan Kemboja sepertimana yang didedahkan laporan media.
Bagaimana ancaman ini mampu menular pula boleh dikaitkan dengan kelicikan penipu dalam talian yang bertindak lebih maju dengan memanfaatkan kemajuan dalam teknologi digital, termasuk kecerdasan buatan (AI).
Berikutan itu, pihak berkuasa dan institusi kewangan tiada pilihan kecuali turut sama membuat persiapan seperti berteraskan AI dalam usaha menangani ancaman jenayah itu.
Justeru, tidak hairanlah Pusat Tindak Balas Penipuan Kebangsaan (NSRC) turut diperkukuhkan dengan pelancaran Portal Anti-Penipuan Kebangsaan (NFP).
NFP merupakan platform berasaskan teknologi bagi mengesan, mengesahkan, menjejaki aktiviti penipuan selain mengesan kecurian dana yang dilaporkan kepada NSRC yang pada masa sama bertujuan menggalakkan lebih ramai mangsa tampil membuat laporan selain menangani penipuan dalam talian.
Antara akar permasalahan penipuan berkenaan di Malaysia adalah kemudahan atau wujudnya akaun keldai.
Lebih menyedihkan ialah di peringkat global misalnya, Laporan Perkembangan Penipuan pada 2024 mendedahkan 70 peratus mangsa penipuan ini tidak melaporkan kes mereka kepada pihak berkuasa.
Keadaan itu juga tidak terkecuali bagi rakyat Malaysia yang menganggap tiada bezanya jika membuat atau tidak laporan mengenai perbuatan itu.
Persepsi itu bersandarkan andaian kemungkinan untuk mendapat semula wang yang lesap itu adalah sukar manakala usaha menangkap penjenayah terbabit juga disifatkan sebagai mustahil.
Bagi mereka, pihak berkuasa sama ada polis, bank, instiusi kewangan dan pihak kawal selia ini tidak mempunyai mekanisme atau kepakaran selain rangka kerja perundangan bagi menangani jenayah berkenaan.
Namun, realitinya, kerangka undang-undang itu sememangnya ada.
Bagaimanapun, sebelum mana-mana negara dapat memperoleh keyakinan rakyat dalam perang terhadap penipuan ini, rakyat mesti berupaya mendapat semula wang yang lesap manakala penipu ini dihadapkan dengan undang-undang sepenuhnya.
Apa yang pasti, pihak berkuasa Malaysia juga terbukti telah sedaya upaya menyediakan perlindungan dalam usaha mencegah penipuan dalam talian itu.
Lebih penting, satu-satunya cara bagi menggalakkan lebih ramai tampil membuat laporan adalah meningkatkan lagi keyakinan mereka terhadap sistem yang ada.
Sebaliknya, jika dibiarkan, jenayah penipuan dalam talian ini akan menjejaskan perdagangan, pelancongan selain keyakinan pelabur serta usaha Malaysia untuk muncul sebagai destinasi pelaburan terkemuka.
Tidak dinafikan, kelompok penjenayah dalam talian ini telah mengambil kesempatan daripada pandemik COVID-19 untuk memperdayakan orang ramai yang terpaksa menerima kehadiran ekonomi digital menerusi beli-belah dalam talian.
Oleh itu, NFP dilihat sebagai mekanisme yang akan memperkukuhkan penguatkuasaan dan jejak pengesanan penipuan.
NSRC juga misalnya telah mengendalikan lebih daripada 41,000 kes sejak dilancarkan pada 2022.
Di sebalik usaha itu, tidak kurang pentingnya adalah meningkatkan kerjasama lebih erat selain berkongsi tanggungjawab dalam kalangan agensi, bank-bank, institusi kewangan, pihak pengawal selia kewangan dan kerajaan dalam menghapuskan jenayah penipuan dalam talian ini.
Dari sudut negara, adalah penting bagi mereka yang menjadi pengguna dalam talian ini serta pihak berkuasa untuk lebih berhati-hati memandangkan implikasi jenayah dalam talian ini bukan setakat kepada individu, tetapi juga kepada negara.
Pada masa sama, perlu diingatkan bahawa tiada siapa pun yang sanggup menjalankan perniagaan dalam ruang lingkup yang menyaksikan kadar jenayah penipuan yang tinggi.
– BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial