BELANJAWAN 2025 > BERITA

Berbasikal Trek: Empat Kejohanan Besar Medan Pelumba Negara Buru Mata UCI - PKBM

07/01/2025 06:27 PM

KUALA LUMPUR, 7 Jan (Bernama) -- Empat kejohanan penting iaitu Kejohanan Lumba Basikal Asia 2025 (ACC 2025) dan Kejohanan Asean Track GP President Cup 2025 Siri 1, 2, & 3, dijangka menjadi keutamaan buat pelumba negara dalam memburu mata dalam kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Amarjit Singh berkata Kejohanan ACC 2025 akan berlangsung pada 21-27 Febi dan Kejohanan Asean Track GP (13-20 Jan) menawarkan peluang terbaik buat pelumba negara untuk memanfaatkan kelebihan berlumba di gelanggang sendiri dengan sokongan padu penonton tempatan.

Kesemua kejohanan itu akan berlangsung di Velodrom Kebangsaan Nilai, Negeri Sembilan.

“Saya berharap pelumba negara menggunakan peluang ini sebagai medan terbaik untuk mengumpul sebanyak mungkin mata UCI,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya pelumba bertaraf dunia Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izati Mohd Asri mampu mengekalkan momentum cemerlang pada awal tahun ini dalam kejohanan-kejohanan berkaitan.

Amarjit juga Naib Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) berkata pelumba dari Jepun, Korea Selatan, Kazakhstan, Hong Kong, dan Iran akan menjadi cabaran utama bagi pelumba Malaysia di ACC 2025.

Katanya pencapaian pelumba Malaysia di ACC 2025 dan Kejohanan Asean Track GP President Cup 2025 turut boleh dijadikan sebagai kayu pengukur menjelang Sukan SEA 2025 di Bangkok, Thailand.

“Saya optimis pelumba kita mampu mendominasi acara trek di Sukan SEA 2025. Dengan kerja keras dan persiapan rapi, kita boleh meraih semua pingat yang dipertandingkan di Bangkok nanti,” katanya.

Sebagai rekod, Datuk Azizulhasni Awang pernah mencatat kejayaan cemerlang dengan meraih dua pingat emas dalam acara keirin dan pecut pada ACC 2023.

Namun, The Pocket Rocketman dijangka tidak akan beraksi di ACC 2025 kerana memberi tumpuan kepada pengajiannya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan