KUALA LUMPUR 7 Jan (Bernama) -- Harapan beregu lelaki profesional negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani untuk memulakan saingan kejohanan pembukai tirai musim ini dengan langkah kanan tidak kesampaian apabila tersingkir di pusingan pertama Terbuka Malaysia 2025 hari ini.
Pasangan nombor tiga dunia itu mengalami kekalahan mengejut kepada gandingan ranking ke-26 dunia dari Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard, dengan keputusan 15-21, 21-9, 18-21 dalam masa 52 minit, dalam pertemuan pertama mereka di Axiata Arena Bukit Jalil.
“Kami telah memberikan yang terbaik, tetapi lawan kami ternyata lebih baik,” kata Sze Fei dalam temubual selepas perlawanan.
Sementara itu, pasangan beregu campuran profesional Tan Kian Meng-Lai Pei Jing melakar perpisahan terakhir mereka di Terbuka Malaysia apabila tewas kepada pasangan Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito.
Kian Meng, yang sebelum ini mengumumkan persaraannya selepas Kejohanan All England 2025, tewas bersama Pei Jing dalam dua set, 20-22, 10-21, kepada Midorikawa-Saito.
Pei Jing berkata mereka ingin memberikan persembahan terbaik dalam kejohanan terakhir Terbuka Malaysia mereka, namun kesilapan mudah di set kedua menghancurkan harapan mereka.
“Kami tidak berpuas hati dengan prestasi kami. Mungkin kerana pada set pertama, kami terlalu berusaha untuk memberikan yang terbaik.
“Di set kedua, kami membuat terlalu banyak kesilapan mudah. Kami cuba mendapatkan semula momentum tetapi tidak berjaya,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial