BELANJAWAN 2025 > BERITA

Gandingan Sejarah, Budaya, Teknologi & Alam Tonjol Keunikan Kunming, Xishuangbanna

08/01/2025 11:34 AM

Oleh Mazlan Samion


Kali pertama menjejakkan kaki di bumi tanah besar China, perasaan bercampur baur antara keterujaan dan wasangka - apa benar negara ini antara peneraju kemajuan teknologi dunia? 

 Diundang oleh Agensi Berita Xinhua sebagai peserta Forum Komunikasi Antarabangsa Yunnan ke-3,  ketibaan saya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kunming Changshui pada lewat petang 7 Dis lepas, memberi bayangan awal pesona bandar raya ini yang dijuluk sebagai “Bandar Musim Bunga Abadi”. 

Keindahan landskap berserta suhu dingin yang membelai tubuh, menjanjikan suasana lebih “santai” berbanding metropolis lain di republik itu. Setidak-tidaknya itulah yang saya diberitahu oleh rakan-rakan yang pernah mengembara ke China.

Usai urusan imigresen, saya berserta 20 lagi rakan media dari pelbagai negara, dibawa menjamu selera sebelum ke tempat penginapan tatkala matahari sudahpun terbenam walaupun jam baru menunjukkan 5.30 petang.

 

PASAR MALAM  “TAOBAO”

Menyangkakan dapat berehat walaupun penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Kunming hanya bertempoh kira-kira empat jam, telahan saya tersasar apabila diberitahu oleh wakil penganjur forum agar bersedia untuk program seterusnya sebaik selesai urusan daftar masuk di hotel.

Destinasi kami ialah Bandar Perdagangan Antarabangsa Junfa New Luosiwan di daerah Guandu. Pada siang hari, bandar ini merupakan kompleks perniagaan yang memenuhi keperluan pengeksport, pemborong dan peruncit, namun bila malam menjelang, wajahnya berubah.

Menjual pelbagai jenis barangan, sepadan julukan pasar malam “taobao” (istilah Mandarin yang lebih kurang bermaksud ada pelbagai pilihan) oleh penduduk setempat,  Pasar Malam Luosiwan merupakan yang terpanjang di Yunnan, iaitu merangkumi jarak 500 meter.

Keanekaragaman barang-barang seperti pakaian, cenderamata dan makanan tempatan dijual pada harga berpatutan, menjadikan pasar ini sebagai simbol kejayaan “ekonomi malam” Kunming.  

Bukan hanya itu, pasar malam ini juga disepadukan dengan nilai sejarah, kerana lokasinya di laluan kereta api Yunnan-Vietnam yang dibina oleh Perancis pada awal abad ke-20 meliputi jarak sejauh 859 kilometer. Landasan kereta api ini masih utuh terpelihara, meskipun telah bertahun ditinggalkan.

Di sebelah siang, kawasan perdagangan Junfa ini merupakan hab antarabangsa dengan lebih 40,000 peniaga dan menerima kunjungan lebih 300,000 orang saban hari.

 

TEKNOLOGI LANCARKAN EKSPORT

Keesokan harinya, kami dibawa melawat Pusat Pemeriksaan Kastam di hab antarabangsa itu. Di sini, kami “ditayangkan” kecanggihan teknologi yang telah dicapai oleh China, dan bagaimana penggunaan teknologi maklumat khususnya, melancarkan segala urusan di hab berkenaan.  

Dirasmikan pada 2022, pusat pemeriksaan kastam ini menyediakan perkhidmatan sehenti yang memudahkan perdagangan antarabangsa, termasuk e-dagang rentas sempadan dan pembelian secara pukal, sekali gus memberi manfaat kepada peniaga.

Penggiat YouTube dari Bangladesh Md Sabbir Ahamed, 25, tidak dapat menyembunyikan kekagumannya ketika menyaksikan proses transaksi perniagaan antara China dan negara lain di pusat pelepasan kastam itu.

“Kita biasa lihat hasilnya sahaja. Jarang kita dapat lihat bagaimana proses itu berlaku. Di sini, saya berpeluang melihat dengan mata sendiri proses eksport itu dijalankan, dipermudah oleh teknologi. Banyak yang dapat dipelajari di sini,” katanya berkongsi pandangan dengan saya.

 

INDUSTRI BUNGA KUMNING

Destinasi kedua kami juga mengetengahkan kehebatan teknologi China. Bertempat di sebuah bangunan 26 tingkatYunnan Huawu Technology Co Ltd  memanfaatkan teknologi untuk memasarkan produk berasaskan bunga.

Wilayah Yunnan merupakan pengeluar bunga utama di China dengan eksport bunga potong segar bagi tempoh tiga suku pertama 2024 bernilai 460 juta yuan. Yunnan Huawu merupakan antara pengeluar bunga segar terbesar di Yunnan. 

pic-3

Kalau ada yang beranggapan saya berpeluang melihat pelbagai jenis bunga di situ, jauh panggang dari api. Realitinya, premis tersebut berperanan sebagai “pasar dalam talian” di mana mereka melantik pempengaruh media sosial sebagai “eksekutif pemasaran”.

Saya teruja melihat bagaimana media sosial seperti Douyin atau versi antarabangsanya TikTok, digunakan bagi memasarkan bunga secara kreatif. Pempengaruh antaranya Seng Seng dan Xiao Yu memainkan peranan penting dalam mempopularkan seni gubahan bunga secara kreatif, memikat masyarakat China untuk menjadikan bunga sebagai sebahagian gaya hidup moden.

Bersiaran langsung dari bangunan itu, pempengaruh memberi tunjuk ajar kepada penonton cara-cara menggubah bunga - segar atau tiruan - serta pelbagai lagi produk kreatif yang dapat dihasilkan daripada bunga-bunga seperti  ros, tulip dan teluki. Di aras lain pula, deretan petugas sibuk mengambil tempahan dalam talian daripada pelanggan. Kami difahamkan bunga-bunga tersebut dihantar ke seluruh pelusuk China.

Seng Seng dan Xiao Yu turut mengajar kami cara menggubah bunga. Di sebalik kekangan bahasa, selain rata-rata tidak pernah menggubah bunga, kumpulan kami berjaya menyiapkan gubahan setanding penggubah profesional. 

 

BANDAR PURBA GUANDU 

Bandar Purba Guandu, satu daripada tempat lahirnya budaya Yunnan, memikat pengunjung dengan seni bina bersejarah. Dipenuhi kuil atau tokong,  bandar ini membawa pengunjung ke era dinasti dahulukala yang sebelum ini hanya dapat dilihat menerusi drama dan filem China.

Daripada belasan kuil di situ, Miaozhan Temple atau Shaolin Temple yang dibina ketika Dinasti Yuan, paling menarik perhatian saya. Terkenal dengan pagoda batu 13 tingkat, kuil ini menampilkan seni bina yang menakjubkan pandangan saya selaku jurugambar dengan pengalaman 20 tahun. 

pic-2

Di sini juga kami dibawa melawat Muzium Legenda Perak dan Akademi Catur Yunzi yang menempatkan kilang membuat catur Cina secara tradisional.

Kami turut berpeluang menyaksikan dari dekat seni kerja logam tradisional “wutong zouyin", iaitu teknik penghasilan barangan perak di Yunnan yang menggabungkan peleburan, penempaan, ukiran hiasan dan pemasangan perak pada gangsa. Seni warisan dari era Dinasti Qing dengan sejarah berusia lebih 300 tahun ini diiktiraf sebagai khazanah budaya kebangsaan.

“Menari dan berlakon opera Cina serta membuat catur dan ukiran tembaga memberikan saya satu pengalaman manis yang sangat menyeronokkan,” kata pengarah program televisyen dari Sri Lanka, Charitha Jeewanthi Gangewaththa kepada saya di akhir lawatan itu.

 

CAMAR WANGGUAN

Pada pagi 9 Dis, kumpulan kami dibawa mengunjungi Taman Wetland Wangguan yang terletak di Tasik Dianchi, tasik terbesar di China. Pemandangan memukau dengan ratusan burung camar paruh merah atau “hong zui ou” dalam bahasa tempatan, bebas berterbangan di kawasan tasik. 

Di sini, kami bertemu Zhang Liyun, seorang sukarelawan yang dikenali sebagai “Raja Burung Dianchi”. Sejak 10 tahun lalu, beliau dengan penuh dedikasi memberi makan burung-burung tersebut. Hanya dengan menyeru "Aww" dan lemparan makanan, ratusan burung camar “menyerbu”.

pic-4

Zhang, 40, bukan sahaja menjaga burung-burung berkenaan tetapi turut memelihara ekosistem Wetland Wangguan. Beliau  mengorbankan masa dan tenaga demi kelestarian habitat semula jadi kawasan itu.

Menerusi khidmat penterjemah, Zhang menjelaskan bahawa baginya memberi makan burung camar tersebut bukan “tugas”  tetapi lambang cintanya terhadap alam sekitar demi memastikan kelangsungan unggas berkenaan di habitat mereka.

 “Burung-burung ini seperti keluarga saya,” katanya sambil tersenyum.

 

BANDAR XISHUANGBANNA

Lewat tengah hari, kami memulakan perjalanan ke Xishuangbanna yang terletak kira-kira 550 km dari Kunming, mengambil masa kira-kira tiga jam menaiki kereta api laju.

Terletak di kawasan beriklim tropika dan memiliki kekayaan biodiversiti terbesar di China, Xishuangbanna turut dikenali sebagai Lembah Gajah kerana di sini diam gajah Asia.

pic-5

Wilayah ini bersempadan dengan tiga negara, iaitu Laos, Vietnam dan Myanmar, dengan etnik Dai sebagai komuniti utama. Rata-rata binaan di sini mempunyai ciri-ciri seni bina ketiga-tiga negara jiran, justeru tidak menghairankan jika pelawat berasakan mereka mengunjungi tiga negara tersebut apabila tiba di sini, yang diakui oleh Juliet Ebele, seorang pelajar kedoktoran di Universiti Komunikasi China yang berasal dari Nigeria.

"Saya jatuh cinta dengan bandar ini. Seni binanya menarik perhatian saya kerana sangat berbeza dengan Beijing,” katanya yang turut kagum dengan kecekapan China memelihara warisan dan budaya selain melindungi serta memulihara spesies haiwan terancam.

Bagi Sengthong Phasavath, 47, dia berasakan seolah-olah berada di kampung halaman.

“Sangat mirip dengan budaya Laos. Bahasa yang mereka tuturkan mempunyai beberapa perkataan atau kosa kata yang sangat serupa dengan masyarakat Laos, jadi  kami dapat saling memahami dengan mudah. Pakaian yang mereka gayakan juga sama," kata wartawan daripada agensi berita Laos ini.

Sungai Mekong yang merentasi bandar Jinghong di sini menjadikan bandar itu hidup dengan pelbagai aktiviti seperti perniagaan pasar malam atau lebih dikenali sebagai “Starlight night market”.

Lokasi ini juga menjadi tumpuan jurugambar yang menjadikan keindahan pemandangan sepanjang sungai sebagai modal untuk menjana pendapatan - mengambil gambar pelancong tempatan dan asing sambil menggayakan busana tradisional etnik di Xinshuangbanna.

 

LEMBAH GAJAH DAN BOTANI TROPIKA

Wild Elephant Valley atau “Lembah Gajah Liar”  di Xishuangbanna, Yunnan, meliputi kawasan seluas 3.69 km persegi dan merupakan destinasi pelancongan terkenal. Terletak 35 km ke utara Jinghong, lembah ini menjadi habitat kira-kira 200 ekor gajah Asia liar, antara spesies terancam di peringkat global.

Jika bernasib baik, pelawat berpeluang menyaksikan haiwan ini berkeliaran di habitat semula jadi mereka. Tarikan utama lembah ini ialah laluan kanopi sejauh 690 meter dan jambatan gantung sepanjang 200 meter yang membolehkan pengunjung memerhati hidupan liar dari atas.

Selaku jurugambar, saya berhasrat merakam gambar mamalia darat terbesar itu di habitat semula jadinya, namun tidak kesampaian kerana sukar untuk melihat haiwan ini di celah-celah rimbunan semak dan pokok rendang.  

Nasib sama turut menimpa rakan sejawatan dan senegara Roystein Emmor, jurufoto The Borneo Post.

“Saya sudah bersedia untuk mengangkat kamera bagi merakam momen itu, tetapi hutan terlalu tebal. Saya cuma nampak ada pergerakan pokok dengan dahan-dahan kecil bergoyang, namun apabila dihalakan kamera ke arah itu, saya cuma sempat tangkap kelibat sahaja,” ujarnya.

Wild Elephant Valley bukan sekadar destinasi pelancongan, tetapi juga pusat pemuliharaan penting untuk melindungi gajah dan habitatnya, selain memupuk keharmonian antara manusia dan hidupan liar. 

Perjalanan kami berakhir Taman Botani Tropika Xishuangbanna yang berada di bawah naungan Akademi Sains China.

Terletak di bandar Menglun, taman ini bertempat di kawasan lembah Sungai Luosuo, iaitu anak Sungai Mekong, pada ketinggian 570 meter dari aras lalut.

Taman ini mula dibangunkan pada 1959 dan kini telah berkembang menjadi satu daripada institusi gabungan utama untuk penyelidikan, pemeliharaan sumber botani dan pelancongan saintifik tropika.

Berkeluasan 1,100 hektar, di taman ini terdapat lebih daripada 13,700 spesies tumbuhan dari seluruh dunia, selain memiliki 39 kawasan landskap yang memikat hati dengan keindahan pemandangan, kepelbagaian saintifik dan warisan budaya.

Dihadiri oleh 200 peserta dari pelbagai negara, Forum Komunikasi Antarabangsa Yunnan ke-3 berlangsung pada 10 Dis. Saya berbangga terpilih mengikuti program yang bukan setakat membuka minda saya tentang China tetapi juga memberi pengalaman berbeza.

Kembara dari 7 hingga 12 Dis itu turut membuka mata saya tentang keindahan gabungan sejarah, budaya, kemodenan dan biodiversiti, sekali gus menguatkan lagi semangat saya untuk “menceritakan” keindahan dunia menerusi lensa kamera. 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan