Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 8 Jan (Bernama) -- Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) Kamala Harris dijadualkan mengadakan lawatan kerja ke Singapura pada 15 Jan, sebagai sebahagian daripada perjalanan beliau ke tiga negara dari 13 hingga 17 Jan yang turut merangkumi Bahrain dan Jerman.
Lawatan ini dijangka menjadi yang terakhir bagi Harris sebagai Naib Presiden sebelum beliau mengakhiri tempoh perkhidmatannya pada 20 Jan.
Jurucakap Kementerian Luar Negeri Singapura (MFA) berkata, lawatan ini mencerminkan hubungan jangka panjang yang kukuh, substansif dan pelbagai dimensi antara kedua-dua negara.
Semasa di Singapura, Harris akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Lawrence Wong serta menghadiri jamuan makan tengah hari yang dianjurkan oleh Menteri Kanan Lee Hsien Loong di Istana.
“Beliau juga akan melawat Pangkalan Tentera Laut Changi dan bertemu dengan anggota perkhidmatan AS,” menurut kenyataan jurucakap itu pada Rabu.
Harris akan ditemani suaminya, Douglas Emhoff serta pegawai kanan AS.
Di Bahrain, pada 16 Jan, Harris dijadual bertemu pemimpin-pemimpin di Manama, Bahrain dan melawat Pangkalan Sokongan Tentera Laut–Bahrain, iaitu ibu pejabat Markas Pusat Tentera Laut AS dan Armada Kelima AS, menurut kenyataan Setiausaha Akhbar Ernesto Apreza.
Beliau kemudian dijadual melawat Sayap Pejuang ke-52 Tentera Udara AS di Pangkalan Udara Spangdahlem, Jerman pada 17 Jan.
"Sepanjang lawatannya, Naib Presiden itu akan membincangkan pencapaian pentadbiran Biden-Harris dalam tempoh empat tahun lalu di setiap rantau, kerjasama AS dengan negara-negara terbabit, sumbangan angkatan tentera AS kepada keselamatan serantau dan global serta kepentingan keselamatan negara yang berterusan bagi Amerika Syarikat," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial