BELANJAWAN 2025 > BERITA

Sebanyak 78 Juta Pekerjaan Baharu Dicipta Pada 2030, Peningkatan Kemahiran Diperlukan Segera -- WEF

08/01/2025 01:36 PM

KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) -- Kira-kira 170 peranan baharu dijangka diwujudkan dan 92 juta pekerjaan akan terjejas menjelang 2030 selain menghasilkan peningkatan bersih sebanyak 78 juta pekerjaan baharu, menurut Forum Ekonomi Dunia (WEF).

Laporan "The Future of Jobs Report 2025" yang diterbitkan hari ini oleh WEF mengambil data daripada lebih 1,000 syarikat.

Laporan itu berkata, kemajuan teknologi, perubahan demografi, ketegangan geoekonomi dan tekanan ekonomi adalah pemacu utama terhadap perubahan ini yang mengubah semula industri dan profesion di seluruh dunia.

Sementara itu, Ketua Kerja, Upah dan Penciptaan Pekerjaan WEF, Till Leopold dalam satu kenyataan hari ini berkata, aliran seperti kecerdasan buatan (AI) generatif dan anjakan teknologi yang pesat sedang mengubah industri serta pasaran buruh selain mewujudkan peluang yang belum pernah berlaku selain risiko yang mendalam.

"Masanya sudah tiba untuk perniagaan dan kerajaan bekerjasama, melabur dalam kemahiran dan membina tenaga kerja global yang adil serta tahan lasak," katanya.

Laporan itu berkata, jurang kemahiran juga terus menjadi halangan paling ketara terhadap perubahan perniagaan hari ini.

Hampir 40 peratus kemahiran yang diperlukan dalam pekerjaan dijangka berubah dan 63 peratus majikan sudah menyatakannya sebagai halangan utama yang mereka akan hadapi.

"Kemahiran teknologi dalam AI, data besar dan keselamatan siber dijangka mengalami pertumbuhan pesat dalam permintaan, tetapi kemahiran manusia seperti pemikiran kreatif, ketahanan, fleksibiliti dan ketangkasan akan terus menjadi kritikal.

"Gabungan kedua-dua jenis kemahiran ini akan semakin penting dalam pasaran pekerjaan yang pantas berubah," katanya.

WEF berkata, peranan barisan hadapan dan sektor penting seperti penjagaan dan pendidikan ditetapkan mengalami pertumbuhan pekerjaan tertinggi menjelang 2030.

Kemajuan dalam AI dan tenaga boleh baharu sedang mengubah pasaran, kata laporan itu.

 Sehubungan itu, kata WEF, ia mendorong peningkatan permintaan untuk banyak peranan teknologi atau pakar dan pada masa yang sama menyebabkan penurunan bagi beberapa peranan lain termasuk pereka grafik.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan