BELANJAWAN 2025 > BERITA

Hasil Kraf Tangan Jana Pendapatan Kepada Suri Rumah

08/01/2025 03:20 PM

 

Oleh Nurul Syahirah Zulkifli

 

ARAU, 8 Jan (Bernama) -- Bermula sekadar hobi menghasilkan kraf tangan pelbagai bentuk diperbuat daripada doh tanah liat buatan sendiri semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020, kini seorang suri rumah di sini mampu menjana pendapatan. 

Ibu kepada lima cahaya mata itu Rohani Atan, 63, ketika ditemui Bernama baru-baru ini berkata antara kraf tangan yang menarik perhatian pelanggan ialah jam, sirih pinang dan makanan miniatur yang kelihatan realistik.

Rohani berkata bahan asas untuk menghasilkan kraf tangan itu ialah doh tanah liat yang dihasilkan sendiri menggunakan tepung jagung, gam lateks, pewarna makanan dan gel vaselin manakala penghasilan kraf tangan itu tidak memerlukan ketuhar kerana ia akan mengeras sendiri.

"Proses menghasilkan doh tanah liat ini melibatkan campuran dua cawan tepung jagung, satu cawan gam lateks dan satu sudu gel vaselin sehingga membentuk doh lembut dan tidak melekat pada tangan.

"Masa yang diambil untuk menghasilkan satu bentuk kraf tangan pula bergantung pada tahap kerumitan bentuk namun kebiasaannya masa yang diambil antara lima minit hingga lebih tiga jam,” katanya.

Rohani berkata bagaimanapun kraf tangan berbentuk makanan yang kelihatan realistik menjadi cabaran kerana memerlukan ketelitian dan masa yang lama bagi menjamin kualiti terbaik.  

"Dari segi ketahanan, pewarna yang digunakan pada doh ini dijangka mampu bertahan hingga lima tahun," katanya yang banyak menyertai program anjuran pihak Kraftangan Perlis termasuk pameran seni sekali gus dapat memasarkan hasil kraf tangannya.

 Untuk produk kraf tangan yang dipromosikan secara dalam talian menerusi platform Facebook pula  dijual serendah RM5 hingga RM250, dan boleh ditempah pelanggan mengikut cita rasa serta pilihan mereka.

"Setiap kali saya menyertai acara tertentu, jualan produk kraf tangan boleh mencecah RM1,000. Saya juga bercadang menambah baik resipi doh dan memperbanyak reka bentuk seperti bentuk bunga,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan