BELANJAWAN 2025 > BERITA

Wisma Putra Pantau Kebakaran Hutan Di Los Angeles; Tiada Rakyat Malaysia Terjejas Setakat Ini

08/01/2025 09:55 PM

PUTRAJAYA, 8 Jan (Bernama) -- Kementerian Luar Malaysia – melalui Konsulat Jeneral di Los Angeles, Amerika Syarikat – sedang memantau dengan teliti kebakaran hutan di Los Angeles yang menyaksikan lebih 30,000 penduduk dipindahkan sejak Selasa hingga Rabu.

Dalam satu kenyataan pada Rabu, kementerian itu yang juga dikenali sebagai Wisma Putra berkata kebakaran tersebut telah memusnahkan banyak bangunan dan membakar hampir 3,000 ekar (1,200 hektar) kawasan Pacific Palisades.

"Konsulat Jeneral sedang memantau keadaan secara aktif. Tiada laporan melibatkan rakyat Malaysia diterima setakat ini.

"Kementerian akan terus memantau perkembangan berkaitan kebakaran hutan dan memberikan kemas kini sekiranya perlu," menurut kenyataan itu.

Wisma Putra menggesa rakyat Malaysia yang berada atau mengunjungi kawasan terjejas untuk berhati-hati, mematuhi arahan pemindahan tempatan dan sentiasa mendapatkan maklumat terkini melalui kemas kini rasmi.

Ia juga menggalakkan rakyat Malaysia di Los Angeles untuk mendaftar kehadiran mereka melalui sistem E-Konsular dan mengekalkan hubungan rapat dengan Konsulat Jeneral untuk kemas kini dan bantuan.

Bagi bantuan konsular, rakyat Malaysia boleh menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Los Angeles. Pejabat tersebut terletak di 777 South Figueroa Street, Suite 600, Los Angeles, California. Konsulat Jeneral boleh dihubungi melalui telefon di +1-213-892-1238 atau melalui e-mel di mwlosangeles@kln.gov.my.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan