BELANJAWAN 2025 > BERITA

Elemen Seni Bina Masjid Dalam Video Promosi Tahun Melawat Malaysia Yang Lebih Terperinci

08/01/2025 10:17 PM

KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) -- Elemen seni bina masjid akan dimasukkan dalam video promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 yang lebih terperinci dalam masa terdekat, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.

Tiong berkata video montaj yang dipertikaikan beberapa pihak kerana tidak memaparkan elemen masjid sebelum ini hanya video pelancaran ringkas dan pendek berdurasi 41 saat.

“Video ini hanya sebuah video pelancaran ringkas dan pendek dengan durasi 41 saat. Fokus utama kami adalah untuk menampilkan keunikan Malaysia secara inklusif, dan saya berharap semua pihak memahami video pelancaran seperti ini sememangnya tidak boleh terlalu panjang atau terperinci.

“Malaysia mempunyai pelbagai keindahan dan keunikan di negara ini termasuk seni bina masjid yang memukau. Untuk itu, elemen-elemen berkenaan telah dimasukkan dalam video promosi yang lebih terperinci serta memaparkan setiap elemen dengan lebih khusus, video ini dalam proses peringkat akhir dan akan dikeluarkan dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata elemen yang menonjolkan seni, budaya dan daya tarikan pelancongan Malaysia secara menyeluruh akan disertakan dalam video itu seperti silat, Tarian Ngajat dan Tarian Sumazau yang melambangkan keindahan budaya dan semangat perpaduan. 

Tiong kesal dengan tindakan sesetengah pihak tidak bertanggungjawab dalam memanipulasi isu ini sebagai sentimen agama dan perkauman serta menjadikannya sebagai bahan perpecahan.

Beliau berkata sikap golongan seperti ini yang sebenarnya mencabar keharmonian sosial di negara ini.

“Saya juga amat menentang tindakan segelintir pihak yang memutarbelitkan usaha kami sebagai satu agenda yang bercanggah dengan semangat Malaysia MADANI. Sepatutnya, semua mengutamakan perpaduan, hormat-menghormati dan kesejahteraan bersama.

“Kami sentiasa berusaha melakukan yang terbaik untuk negara. Saya berharap semua pihak dapat memahami fokus utama adalah untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia, dan mengukuhkan ekonomi negara melalui sektor pelancongan, seni dan budaya.

“Saya menyeru kepada semua pihak tanpa mengira bangsa, agama atau latar belakang, agar tidak mempolitikkan isu ini atau menjadikannya sebagai isu agama atau perkauman,” katanya.

Terdahulu, video berdurasi 41 saat yang dimuat naik menerusi Facebook rasmi Tourism Malaysia memaparkan beberapa destinasi tumpuan pelancong antaranya Jalan Petaling dan Pasar Seni di Kuala Lumpur, Gua Mulu (Sarawak), Skywalk Langkawi (Kedah), Batu Caves (Selangor) dan gereja lama di Melaka.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan