BELANJAWAN 2025 > BERITA

PM Jepun Ishiba Adakan Lawatan Rasmi Dua Hari Ke Malaysia

09/01/2025 01:18 PM

KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia selama dua hari bermula Khamis, lawatan pertamanya ke negara ini sejak memegang jawatan pada Oktober 2024.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, Kementerian Luar yang juga dikenali sebagai Wisma Putra memaklumkan Ishiba akan diraikan dalam satu Majlis Sambutan Rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya diikuti dengan mesyuarat dua hala bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar dan Ishiba dijangka meneliti semula kemajuan hubungan dua hala Malaysia-Jepun, terutamanya dalam bidang seperti perdagangan dan pelaburan, pembangunan sumber manusia serta kerjasama dalam bidang tenaga.

“Mereka juga dijangka bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama termasuk situasi di Timur Tengah,” menurut Kementerian Luar.

Wisma Putra berkata selepas mesyuarat itu, kedua-dua perdana menteri akan mengadakan sidang media bersama.

 Anwar juga dijadualkan menjadi hos majlis makan tengah hari di Kompleks Seri Perdana bagi meraikan rakan sejawatannya dari Jepun.

Hubungan Malaysia dengan Jepun telah bertambah kukuh sejak dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada Disember 2023.

Jepun ialah rakan ekonomi utama bagi Malaysia, dengan sejumlah 2,821 projek pembuatan melibatkan penyertaan Jepun dilaksanakan di Malaysia setakat Jun 2024.

Projek-projek ini melibatkan pelaburan bernilai RM105.2 bilion (US$30.4 bilion) dan telah menjana peluang pekerjaan untuk kira-kira 344,996 orang.

Jepun juga merupakan pelabur asing keempat terbesar dalam sektor pembuatan Malaysia dan rakan perdagangan keempat terbesar Malaysia dengan jumlah perdagangan sebanyak RM156.75 bilion (US$34.41 bilion) pada 2023.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan