BELANJAWAN 2025 > BERITA

Tiga Rakyat Singapura Yang Radikal Ditahan Di Bawah ISA

09/01/2025 06:22 PM

SINGAPURA, 9 Jan (Bernama) -- Tiga warga Singapura dipercayai menjadi radikal sendiri, ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada November 2024, menurut Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) Singapura.

Menurut kenyataan ISD pada Khamis, mereka adalah Muhammad Indra Aqmal Effendy, 21, Mohamad Latiff Rahim, 41 dan Nurisham Yusoff, 44.

"Ketiga-tiga mereka menjadi radikal sendiri secara berasingan dalam talian dan telah membuat persediaan untuk terlibat dalam keganasan bersenjata di luar negara," kata ISD.

ISD berkata walaupun kes mereka tidak berkaitan, mereka menjadi radikal sama ada dicetuskan atau dipercepatkan oleh konflik Israel-Hamas yang sedang berlaku.

Muhammad Indra Aqmal dan Nurisham merancang untuk berjuang bersama Hamas dan sayap ketenteraannya, Briged Izz ad-Din al-Qassam di Gaza manakala Mohamad Latiff merancang untuk berjuang bersama tentera Iran dan Hizbullah menentang Israel, katanya.

ISD berkata Muhammad Indra Aqmal, seorang juruteknik lif pada masa ditahan pada Oktober 2024 menyelidik talian untuk mencari laluan perjalanan yang mungkin dan mengenal pasti seorang kenalan asing dalam talian sebagai persediaan untuk perjalanannya ke Gaza.

Sementara Nurisham, seorang pengawal keselamatan mengambil langkah untuk mempersiapkan dirinya bagi rancangannya untuk terlibat dalam keganasan bersenjata, termasuk membuat penyelidikan dalam talian cara untuk memasuki Gaza.

Mohamad Latiff, seorang pengarah syarikat pemasaran digital yang berpusat di Bangkok, Thailand, ditangkap pada Oktober 2024 setelah kembali ke Singapura.

Menurut ISD sebelum konflik Israel-Hamas yang terbaru, Mohamad Latiff telah memulakan persediaan untuk terlibat dalam keganasan bersenjata, termasuk melawat lapang sasar di Bangkok pada 2022.

Mohamad Latiff tidak mempunyai rancangan khusus untuk melakukan serangan di Singapura tetapi  bersedia untuk melaksanakan serangan di Singapura jika diarahkan, kata ISD.

"Ketiga-tiga individu ini bertindak bersendirian dan tidak ada petunjuk mereka cuba merekrut orang lain di Singapura. Ahli keluarga mereka tidak menyedari rancangan mereka untuk terlibat dalam keganasan bersenjata," kata ISD.

Menurut ISD sejak permulaan konflik Israel-Hamas pada Oktober 2023, ia menangani sekurang-kurangnya lima rakyat Singapura di bawah ISA, yang radikalisasi mereka sama ada dicetuskan atau dipercepatkan oleh konflik tersebut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan