GENEVA, 9 Jan (Bernama-AA) -- Penyelidik Switzerland berjaya menghasilkan bateri daripada cendawan, menurut Makmal Persekutuan Switzerland bagi Sains dan Teknologi Bahan (Empa) mengumumkan di laman webnya pada Khamis.
Menurut Empa, bateri cendawan itu secara teknikalnya adalah sel bahan bakar mikrob, lapor Anadolu Agency.
Sel bahan bakar ini menggunakan metabolisme dua jenis cendawan yang berbeza untuk menghasilkan elektrik.
Di anod, kutub negatif sel, cendawan yis diberi makan gula. Ketika ia memproses nutrien ia melepaskan elektron.
Di sisi lain sel, cendawan reput putih menghasilkan enzim yang menangkap elektron dan menghantarnya keluar dari sel.
“Seperti semua organisma hidup, mikroorganisma menukar nutrien menjadi tenaga. Sel bahan bakar mikrob memanfaatkan metabolisme ini dan menangkap sebahagian tenaga sebagai elektrik,” menurut penyelidik.
“Untuk kali pertama, kami menggabungkan dua jenis cendawan untuk mencipta sel bahan bakar yang berfungsi,” tambah penyelidik tersebut.
Penyelidik tidak menyebut jumlah elektrik yang dihasilkan oleh bateri cendawan. Walau bagaimanapun, menurut Empa dalam siaran medianya: “Sel hidup ini tidak menghasilkan banyak elektrik tetapi cukup untuk mengendalikan sensor suhu selama beberapa hari, sebagai contoh.”
Menurut penyelidik, sensor tersebut biasanya digunakan dalam pertanian atau penyelidikan alam sekitar.
Kelebihan terbesar bateri cendawan, seperti yang dijelaskan oleh Empa, adalah ia sepenuhnya tidak toksik dan boleh terbiodegradasi. “Setelah selesai tugasnya, ia akan larut dengan sendirinya daripada dalam,” menurut penyelidik.
Penyelidik juga menegaskan yang cendawan tidak ditanam dalam bateri tetapi merupakan sebahagian daripada sel bahan bakar sejak awal.
“Komponen bateri cendawan dihasilkan menggunakan pencetakan 3D. Ini membolehkan penyelidik menyusun elektrod dengan cara yang membolehkan mikroorganisma mengakses nutrien dengan mudah,” tulis Empa.
Menurut penyelidik, mereka kini bertujuan untuk membuat bateri cendawan lebih berkuasa dan tahan lama dan sedang meneroka jenis cendawan lain yang sesuai sebagai pembekal elektrik.
-- BERNAMA-AA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial