BELANJAWAN 2025 > BERITA

Grab Malaysia Buka Peluang Kepada OKU, Wanita Dalam Ekonomi Gig

10/01/2025 03:19 PM

KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) -- Grab Malaysia kekal komited dalam memupuk keterangkuman, pemerkasaan ekonomi dan kemampanan, dengan memberi tumpuan kepada membuka peluang-peluang untuk direbut Orang Kurang Upaya (OKU) dan wanita dalam ekonomi gig.

Pengarah Urusan Grab Malaysia Adelene Foo berkata syarikat ini tetap teguh dalam menyediakan pemerkasaan ekonomi untuk individu dari pelbagai lapisan masyarakat bagi membina masa depan dengan setiap orang, tanpa mengira latar belakang atau kebolehan, berpeluang untuk berjaya.

“Melalui inisiatif seperti #GrabBersamaMalaysia dan #SisBoleh, Grab memberi sokongan OKU dengan menyediakan latihan dan bantuan kewangan serta menggalakkan penyertaan wanita, dengan menawarkan ciri-ciri keselamatan dan program pembinaan komuniti.

“Selain itu, Grab turut menyumbang kepada pertumbuhan pelancongan dan ekonomi Malaysia dengan menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME) tempatan dan memperkenalkan Grab Tourist Pack untuk meningkatkan pengalaman perjalanan.

“Dengan tumpuan yang rapi terhadap keselamatan dan inovasi, Grab bekerjasama dengan kerajaan dan komuniti tempatan untuk memastikan masa depan yang lestari dan inklusif untuk semua rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Grab 3,100 OKU di seluruh Asia Tenggara telah menerima manfaat daripada peluang pendapatan ini. Sebagai pemboleh teknologi, ia komited untuk menyediakan bantuan dan sesi latihan yang direka khas supaya rakan kongsi OKU dapat memanfaatkan teknologi dan platform Grab untuk mendapat peluang memperoleh pendapatan.

“Satu contoh impak ini dapat dilihat di Johor. Sejak kami melancarkan operasi di negeri ini pada 2013, kami telah menyediakan platform kepada hampir 100,000 rakan pemandu dan penghantar tempatan untuk menjana pendapatan, termasuk lebih 400 OKU. Kami berharap dapat membantu lebih ramai OKU memperoleh pendapatan dan memperkasa diri.

“Di Malaysia, lebih 10,000 OKU telah memasuki pasaran pekerjaan dari 2022 hingga pertengahan 2023. Kemajuan ini adalah langkah ke hadapan, tetapi ia juga mempamerkan jurang yang ketara, iaitu kadar pekerjaan keseluruhan untuk OKU masih rendah berbanding populasi OKU yang berdaftar melebihi 674,000,” katanya.

Adelene berkata program #SisBoleh, yang merupakan inisiatif utama dalam usaha memperkasa wanita di platform ini, memberi tumpuan kepada tiga teras: Keselamatan, Onboarding & Latihan, dan Komuniti.

“Melalui #SisBoleh, kami menyasarkan untuk memberikan wanita kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk menghasilkan pendapatan dengan penuh yakin dan menjadi sebahagian daripada komuniti wanita yang diperkasakan. Ciri-ciri keselamatan kami seperti ‘Share My Ride’ dan ‘AudioProtect’ direka untuk memberikan ketenangan fikiran kaum ini semasa bekerja.

“Sejak 2021, kita telah menyaksikan peningkatan 156 peratus dalam jumlah wanita pemandu dan penghantar di Malaysia, dan kami amat berbangga dengan pertumbuhan yang luar biasa ini,” katanya.

Sementara itu Grab Malaysia memperluas fokus mereka untuk menyumbang kepada visi ekonomi negara yang lebih luas, terutamanya dalam sektor pelancongan.

“Pada 2023 pelancongan menyumbang 15.1 peratus (RM275.8 bilion) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara. Apa yang menarik ialah fakta bahawa 65 peratus pelancong menggunakan aplikasi Grab semasa melawat Malaysia, yang menyerlahkan peranan unik kami dalam meningkatkan pengalaman perjalanan.

“Selaras dengan visi ini, kami mengiktiraf peranan penting perniagaan tempatan dalam memacu kemajuan ekonomi. MSME menyumbang 67 peratus daripada jumlah Nilai Barangan Dagangan Kasar (GMV) GrabFood dan GrabMart di Asia Tenggara dan kami kekal komited untuk menyokong kejayaan mereka,” katanya.

Di Terengganu sahaja jumlah MSME yang berdaftar dengan Grab terus berkembang, dengan peningkatan pendaftaran baru sebanyak 20 peratus setiap tahun. Apa yang menarik ialah lebih separuh daripada MSME tempatan ini mengekalkan penarafan 5 bintang, yang dinilai oleh berjuta-juta pelanggan.

Untuk memacu pertumbuhan ini lebih jauh, Grab Tourist Pack menawarkan kepada pelancong antarabangsa, cara untuk menikmati penjimatan segera pada perjalanan dan hidangan, tanpa masalah.

“Setiap interaksi dengan platform ini memberi manfaat terus kepada rakan Grab tempatan kami – sama ada pemandu-rakan yang memperoleh pendapatan daripada perjalanan atau peniaga-rakan yang melihat peningkatan pelanggan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan