PORT DICKSON, 10 Jan ( Bernama) -- Pantai Telok Kemang di sini kini berubah wajah apabila Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) menyediakan payung pantai yang lebih cantik menggantikan khemah biru membabitkan peruntukan berjumlah RM224,532.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri J Arul Kumar berkata sebanyak 33 plot untuk payung itu disediakan di kawasan Pantai Batu 2 hingga 3 Telok kemang melibatkan keluasan 600 meter daripada 1.2 kilometer keseluruhan pantai berkenaan.
Beliau berkata setiap satu plot mempunyai lapan payung, lapan meja dan 16 kerusi yang akan dibuka bermula 8 pagi hingga lewat petang serta perlu dikemaskan semula untuk dibawa pulang oleh pengusaha.
"Penggunaan payung pantai ini adalah lebih cantik, menarik dan tersusun, malah tidak menghalang pemandangan, kita boleh lihat pantai Port Dickson nanti mempunyai imej baharu seperti ala-ala Bali, Indonesia.
"Kita telah menetapkan harga sewaan payung pantai ini tidak lebih daripada RM50, jadi terpulang kepada pengusaha untuk meletakkan harga sewaan itu yang pasti akan menarik lebih ramai pengunjung untuk merasai 'vibes' pemandangan laut seperti berada di luar negara," katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Payung Pantai kepada Pengusaha di Pantai Telok Kemang di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri Nicole Tan Lee Koon dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson Hasnor Abd Hamid.
Dalam pada itu, Arul berkata sebelum ini MPPD telah mengeluarkan notis pemberhentian perniagaan khemah kepada semua pengusaha khemah sewa di tiga pantai utama iaitu di Pantai Telok Kemang, Pantai Cermin dan Pantai Tanjung Biru.
Bagaimanapun, beliau berkata setakat ini hanya Pantai Telok Kemang sahaja yang dibenarkan menjalankan operasi sewa payung pantai.
"Kaedah pelaksanaan ini dibuat berdasarkan semangat penyelesaian secara menang-menang kepada pengusaha dan pengunjung pantai. Bukan semua pengunjung pantai tidak bersetuju dengan sewaan khemah payung seperti ini, ada juga yang setuju, jadi inilah jalan terbaik yang kita ada.
"Kaedah ini akan dipantau dalam tempoh enam bulan dan sekiranya masih berlaku pelanggaran syarat dan tidak terkawal, ia akan dibatalkan serta-merta dan larangan sepenuhnya akan dikuatkuasakan," katanya dan meminta supaya semua pengusaha menjalankan perniagaan itu dengan baik.
Beliau berkata kaedah penyelesaian yang dilaksanakan ini diharap dapat mewujudkan perniagaan payung pantai yang lebih teratur, terkawal dan berlesen menggantikan khemah biru dengan menyediakan plot - plot perniagaan.
Sementara itu, pengusaha Mohd Fazdley Mohd Nasir, 40, berkata pengunaan payung pantai ini dilihat lebih menarik dan santai berbanding khemah biru sebelum ini.
Dia yang mengusahakan perniagaan keluarganya sejak 30 tahun lepas berharap imej pantai di Port Dickson akan menjadi lebih cantik, sekali gus menarik lebih ramai pengunjung, terutama selepas penggunaan payung pantai yang lebih menarik.
Pengunjung dari Kuala Lumpur Mohd Fizran Rosli, 24, pula berkata perubahan yang dilaksanakan kerajaan negeri itu sangat menarik malah lebih digemari orang ramai kerana mengunakan konsep payung pantai berbanding khemah biru.
"Sebagai pengunjung, kita merasakan seolah-olah berada di pantai luar negara dengan pasir yang putih dan cantik serta tempat rehat yang lebih menarik," katanya.
Berkuat kuasa 18 Nov 2024 lepas, semua aktiviti perniagaan khemah biru di pantai berkenaan tidak lagi dibenarkan beroperasi, malah pengusaha juga tidak dibenarkan memulakan apa-apa perniagaan baharu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial