KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) -- Beregu campuran profesional negara Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie menjadi pasangan pertama yang mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia selepas Tan Kian Meng-Lai Peijing pada tahun 2019.
Soon Huat-Shevon melakar kejayaan itu selepas menewaskan pasangan China Cheng Xing-Zhang Chi 21-15, 22-20 pada aksi suku akhir di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini hari ini.
Beregu pilihan keempat itu memulakan permainan dengan baik untuk mencatat kemenangan 21-15 pada set pertama, sebelum berhempas pulas pada set kedua berdepan pasangan pilihan ketujuh kejohanan berkenaan.
Ketika kedudukan terikat 20-20, Soon Huat-Shevon mengatur semula strategi dan mengekalkan ketenangan untuk melakar kemenangan 22-20, sekali gus mengesahkan tempat ke separuh akhir dalam masa 47 minit, kemenangan ketiga mereka selepas lima pertemuan menentang pasangan ranking ke-11 dunia itu.
Shevon ketika ditanya mengenai kemenangan itu berkata beliau berasa gembira dengan prestasi mereka dan bersyukur mara ke separuh akhir pertama Terbuka Malaysia.
“Memang rasa gembira dan rasa sangat istimewa kerana dapat masuk separuh akhir lagi-lagi dekat tanah air sendiri. Dekat sini saya ada keluarga dan peminat, kami akan berjuang untuk Malaysia,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.
Pada pusingan separuh akhir esok, Soon Huat-Shevon akan berdepan pasangan Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran dari Thailand yang menewaskan beregu Perancis Thom Gicquel-Delphine Delrue 21-12, 14-21, 21-7.
Shevon mengakui pasangan baharu Thailand itu tidak mengambil masa yang lama untuk melakar kejayaan selepas digandingkan pada Oktober tahun lepas, dengan meraih dua gelaran iaitu Kumamoto Masters Jepun pada November dan Antarabangsa Syed Mohdi pada Disember.
“Kita memang pernah lawan mereka dua kali dan terikat 1-1. Tapi nampak persembahan mereka kali ini sangat mantap dan lebih berbahaya. Jadi kita kena betul-betul bersedia dari segi mental dan fizikal,” katanya.
Malaysia berpeluang untuk mempunyai beregu campuran kedua di separuh akhir apabila pasangan utama negara dan pilihan ketiga Chen Tang Jie-Toh Ee Wei akan menentang pasangan Jepun Hiroki Midorikawa-Natsu Saito lewat hari ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial