BELANJAWAN 2025 > BERITA

MITI Kenal Pasti 33 Indikator, 32 Tindakan Akan Dilaksanakan Melalui Mesyuarat Jawatankuasa Daya Saing Negara

10/01/2025 08:25 PM

KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan Dan Industri (MITI) telah mengenal pasti 33 indikator dengan 32 tindakan yang akan dilaksanakan dalam jangka masa pendek dan sederhana melalui mesyuarat pertama Jawatankuasa Daya Saing Negara (JKDSN).

Menurut MITI, pelaksanaan tindakan ini akan menyumbang secara langsung kepada pengukuran indikator, seterusnya akan meningkatkan daya saing dan produktiviti Malaysia.

“Selaras dengan pendekatan keseluruhan kerajaan, MITI komited untuk bekerjasama dengan kementerian dan agensi terlibat dalam menjayakan agenda daya saing negara ke arah mencapai sasaran Kerangka Ekonomi MADANI untuk Malaysia berada dalam kalangan 12 ekonomi paling berdaya saing menjelang tahun 2033,” kata MITI dalam satu kenyataan, hari ini.

Menteri Pelaburan, Perdagangan Dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata jawatankuasa itu adalah bukti bahawa kerajaan serius dalam meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam sekali gus akan meningkatkan daya saing negara.

“Dari sudut pelaburan dan perdagangan, produktiviti dan daya saing yang kukuh akan menarik lebih banyak pelabur dan rakan dagang berimpak tinggi apabila negara mempamerkan keupayaan untuk mengekalkan kestabilan ekonomi, kecekapan infrastruktur, dan tatakelola kerajaan serta tadbir urus korporat cemerlang.

“MITI yakin melalui platform JKDSN, merentas kementerian, strategi lebih bersepadu, holistik dan berkesan dapat dirangka,” katanya.

Beliau menjelaskan matlamat JKDSN bukan sekadar angka iaitu meningkatkan kedudukan Malaysia dalam laporan atau indeks tertentu malah lebih utama adalah untuk memastikan impak positif kepada rakyat dan perniagaan.

MITI telah mempengerusi bersama mesyuarat pertama JKDSN yang berupaya memacu peningkatan daya saing negara, dipengerusikan oleh Tengku Zafrul bersama Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Penubuhan JKDSN merupakan usaha menggembleng kerjasama keseluruhan kerajaan bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam, ia akan meningkatkan daya saing negara.

Fokusnya adalah terhadap asas daya saing iaitu pengukuhan produktiviti dan kecekapan di pihak kerajaan dan perkhidmatan, antaranya sektor perniagaan, eksport dan industri/pelaburan.

Selain MITI dan Kementerian Kewangan, mesyuarat dihadiri oleh Ketua Setiausaha dan wakil-wakil kementerian dan agensi yang meneraju usaha meningkatkan daya saing negara seperti Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Kesihatan, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Ekonomi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan