KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan tahniah kepada atlet boling Natasha Roslan yang melakar sejarah apabila menjadi atlet boling wanita pertama negara merangkul kejuaraan Kejohanan Piala Dunia 2025 di Kowloon, Hong Kong malam ini.
“Hebat! Memang luar biasa! Natasha Roslan melakar sejarah menjadi pemain boling wanita pertama negara menjuarai Piala Dunia. Pencapaian saudari luar biasa dan sangat membanggakan,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam ini.
Anwar turut mengucapkan tahniah kepada Muhammad Rafiq Ismail yang meraih pingat perak bagi acara boling perseorangan lelaki.
Perdana Menteri turut mendokan semoga kejayaan kedua-dua individu itu menjadi sumber inspirasi kepada yang lain untuk mengharumkan nama Malaysia di persada sukan dunia.
Natasha, 28, yang juga pemenang pingat emas Kejohanan Tenpin Boling Dunia 2023 muncul juara selepas menewaskan peserta Jerman Birgit Noreiks 217-166, 226-169 pada aksi final.
Kejayaan itu sekali gus menamatkan kemarau 53 tahun negara tanpa kejuaraan kategori individu wanita di kejohanan berkenaan sejak dipertandingkan pada 1972.
Sementara itu, dalam final individu lelaki, bekas juara dunia 2018 Muhammad Rafiq Ismail terlepas kejuaraan kepada wakil China Du Jian Chao.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial