BELANJAWAN 2025 > BERITA

Mangsa Banjir Di Johor Meningkat, Di Perak Kekal Pagi Ini

11/01/2025 11:29 AM

KUALA LUMPUR, 11 Jan (Bernama) --  Jumlah mangsa banjir di Johor semakin meningkat setakat pagi ini manakala di Perak dilaporkan kekal.

Di JOHOR, sebanyak 897 orang ditempatkan di 13 pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 355 orang malam tadi dengan lima PPS baharu dibuka di Kota Tinggi bagi menampung peningkatan jumlah mangsa berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr Azmi Rohani memaklumkan lima PPS tersebut ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Sedili Kecil, Dewan Al-Barakah Seri Delima, SK Gembut, Balai Raya Kampung Perpat dan SK Datuk Usman Awang.

“Selain itu, PPS yang masih beroperasi adalah Dewan Kampung Baru Sungai Mas, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) New Kota, Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB), SK Laksamana, SK Bandar Penawar 1, Dewan Kampung Makam, Dewan Serbaguna Kota Kechil serta SK Teluk Ramunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata paras air di lima sungai dilaporkan melebihi paras bahaya iaitu stesen Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang dengan bacaan 14.70 meter; Sungai Siam di Kampung Sungai Siam (21.48 meter) di Kulai; Sungai Pulai di Kampung Ulu Pulai (3.10 meter) di Pontian; Sungai Skudai di Kampung Laut (4.99 meter) dan Sungai Tebrau di Taman Sri Pandan (2.53 meter) di Johor Bahru.

Azmi turut memaklumkan enam jalan ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan akibat banjir di Kota Tinggi melibatkan Jalan Lok Heng-Mawai-Sungai Mas, Jalan Mawai Lama (Rumah Burung), Ladang Siang (Taman Sri Penawar), Jalan Johor Bahru-Endau, Jalan Kota Tinggi-Kluang dan Jalan Kota Tinggi-Sungai Rengit.

Sementara itu, beliau berkata keadaan cuaca di kesemua 10 daerah di Johor diramalkan hujan pada pagi ini.

Di PERAK, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir di negeri itu kekal seperti malam tadi iaitu 27 orang daripada tujuh keluarga dan masih berlindung di PPS Sekolah Agama Rakyat Padang Serai di Beruas, Manjung.

"Kesemua mangsa yang terjejas banjir ialah penduduk dari Kampung Padang Serai, Kampung Kasi serta Kampung Pengkalan Damar," menurut kenyataan itu.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan daerah Perak Tengah, Hilir Perak, Bagan Datuk, Manjung, Kinta, Kuala Kangsar serta Kampar mengalami ribut dan hujan pada sebelah petang dan malam pada hari ini.

Jabatan Kerja Raya Perak pula memaklumkan laluan A175 Jalan Selat-Pulau Pebayan di Perak Tengah masih lagi ditutup kepada semua kenderaan berikutan laluan tersebut dinaiki air setinggi 0.8 meter.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan