BELANJAWAN 2025 > BERITA

Harimau Selatan 'Gigit' The Rhinos 4-0

12/01/2025 01:36 AM

KUALA LUMPUR, 11 Jan (Bernama) — Johor Darul Ta'zim (JDT) meneruskan rentak kemenangan tanpa kalah sepanjang 17 perlawanan Liga Super musim ini selepas menewaskan Sabah FC dengan jaringan 4-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor malam ini.

Babak pertama menyaksikan pasukan Harimau Selatan dan The Rhinos buntu mencari gol pertama dalam kancah perlawanan ini selepas terikat 0-0 sepanjang 45 minit permainan.

Namun, sebaik memasuki babak kedua perlawanan, JDT seperti menyerap ‘semangat’ baharu apabila memecahkan kebuntuan gol menerusi tendangan percuma yang diberikan pada minit ke-51, disempurnakan oleh Juan Muniz Gallego selepas Bergson Da Silva dikasari pertahanan Sabah.

Juan Muniz menambah gol kedua tuan rumah pada minit ke-69 sebelum Bergson menjaringkan gol ketiga menerusi sepakan penalti pada minit ke-80 akibat bola terkena tangan pemain import Sabah dari Korea Selatan, Park Taesu.

Skuad bimbingan Hector Bidoglio meraih gol keempat apabila Bergson sekali lagi menyerlah dengan melakukan larian solo menggelecek dua pemain The Rhinos sebelum memperdaya Khairul Fahmi pada minit ke-83.

Kemenangan ini menyaksikan JDT mengekalkan rekod tanpa kalah selepas mengharungi 17 perlawanan Liga Super musim ini dengan mencatat 16 kemenangan dan satu seri.

JDT kini mengumpul 49 mata untuk berada di landasan terbaik bagi merangkul kejuaraan Liga Super buat kali ke-11 berturut-turut dengan baki tujuh perlawanan.

Sementara itu, di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, PDRM FC terpaksa akur apabila ‘digari’ sepenuhnya oleh Kuching City FC yang mencatat kemenangan 2-0.

Aksi seimbang yang dipamerkan oleh kedua-dua pasukan pada awal permainan akhirnya dipecahkan oleh penyerang import Kuching City FC, Petrus Shitembi yang meledak pada minit ke-15.

Meskipun PDRM FC berusaha keras mencari gol penyamaan, anak buah Aidil Sharin Sahak terus kukuh mempertahankan kelebihan mereka sebelum Jordan Mintah memastikan kemenangan mutlak dengan jaringan pada minit ke-88.

Keputusan itu membolehkan Kuching City yang turut merekodkan lima kemenangan, enam seri dan tewas empat kali mengumpul 21 mata selepas mengharungi 15 perlawanan untuk menghuni tangga kelima manakala PDRM berada di tangga keenam dengan 21 mata selepas beraksi 17 perlawanan.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan