BELANJAWAN 2025 > BERITA

Agensi Kerajaan Disaran Bahagi Projek, Bantu Kontraktor G1

12/01/2025 03:45 PM

ISKANDAR PUTERI, 12 Jan (Bernama) -- Agensi kerajaan disaran membahagi-bahagikan projek yang hendak dilaksanakan kepada kontraktor kelas G1 yang sedang berdepan isu kekurangan projek. 

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata langkah itu susulan peningkatan jumlah kontraktor kelas sama di seluruh negara ketika ini.

"Saya mencadangkan agensi kerajaan memperbanyakkan kerja-kerja untuk kontraktor G1, kerja itu boleh dipecahkan kepada skop lebih kecil, maka daripada satu kontraktor besar yang dapat, kita boleh turunkan kepada beberapa kontraktor G1.

"Kita ada banyak agensi yang boleh buat demikian termasuk Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) dan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR). Selain itu, program khas boleh dilaksanakan khususnya pembinaan lebih banyak dewan, balai raya dan surau di kampung," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F (PERKOBF) Malaysia Cawangan Negeri Johor di sini hari ini.

Ahmad berkata dalam usaha memperkasakan kontraktor kelas bumiputera G1 hingga G4, peruntukan berjumlah RM450 juta telah diberi tahun ini membabitkan kerja penyelenggaraan jalan persekutuan di seluruh negara.

"Agihan projek akan dibuat secara undian bagi memastikan semua pihak mendapat peluang sama rata," katanya.

Setakat ini, terdapat 67,300 kontraktor kelas G1 yang dahulunya dikenali sebagai kelas F, dengan daripada jumlah itu 49,162 bertaraf bumiputera.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan