BELANJAWAN 2025 > BERITA

Potensi Kerjasama Malaysia, UAE Dijangka Melibatkan Pelaburan AI Dan Pusat Data

12/01/2025 07:44 PM

Daripada Kamarul Ariffin Md Yasin

ABU DHABI, 12 Jan (Bernama) -- Pelaburan dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan pusat data merupakan peluang kerjasama yang sangat berpotensi untuk Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Duta Besar Malaysia ke UAE Tengku Datuk Sirajuzzaman Tengku Mohamed Ariffin berkata lawatan kerja selama tiga hari Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke UAE bermula Ahad dijangka menggalakkan lagi kerjasama dalam dua bidang itu.

Katanya UAE sememangnya berada di hadapan dalam bidang AI dengan banyak perkara melibatkan penggunaan AI termasuk dalam pengurusan bencana dan pertanian. 

Malah, katanya Mohamed bin Zayed University of Artificial Intelligence (MBZUAI), sebuah universiti di sini yang mengadakan pengkhususan dalam bidang AI telah lama mengetengahkan teknologi itu.

Tengku Sirajuzzaman berkata Anwar juga dijangka menyaksikan pemeteraian Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Malaysia-UAE (CEPA) dengan perjanjian itu akan membuka peluang baharu dalam sektor perdagangan, pelaburan dan kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara

“Melalui CEPA, diharapkan selepas ini perdagangan Malaysia dengan UAE akan bertambah… akan lebih senang barangan tertentu masuk ke UAE. Dijangka lebih banyak peningkatan perdagangan dapat disaksikan. Rundingan telah berlangsung agak lama, (hasil rundingan) akan ditandatangani sewaktu lawatan Perdana Menteri ke sini,” katanya.

Katanya Perdana Menteri juga akan mengadakan pertemuan dengan tokoh-tokoh korporat dan ahli perniagaan daripada syarikat-syarikat terbesar di UAE bagi menarik lebih banyak lagi pelaburan langsung asing dan memperkukuhkan hubungan perdagangan antara Malaysia dan UAE.

“Mereka sangat terbuka untuk Malaysia terlibat dengan UAE. Lawatan Perdana Menteri kali ini dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hujung tahun lepas akan membantu meningkatkan lagi kerjasama ekonomi  yang dimeterai selepas ini,” katanya.

Sewaktu di UAE, Anwar dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Presiden UAE Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan yang juga Pemerintah Abu Dhabi di sini selain bertemu dengan Naib Presiden dan Perdana Menteri Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum, yang juga Pemerintah Dubai, di Dubai.

Mengiringi Perdana Menteri dalam lawatan itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Dari Januari hingga November 2024, jumlah dagangan antara Malaysia dan UAE yang direkodkan bernilai RM39.53 bilion (US$8.61 bilion). 

UAE merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia di Asia Barat dengan jumlah dagangan sebanyak RM39.63 bilion (AS$8.67 bilion) pada 2023.

Malaysia juga merupakan rakan dagang keempat terbesar UAE dalam kalangan negara anggota ASEAN dan ke-32 terbesar pada peringkat global.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan