KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) -- Bintang perseorangan lelaki China, Shi Yu Qi dinobatkan sebagai juara baru Terbuka Malaysia 2025 setelah melunaskan dendamnya pada edisi tahun lepas terhadap penyandang juara Anders Antonsen pada final di Axiata Arena Bukit Jalil di sini hari ini.
Set pertama menyaksikan satu arah sahaja, di mana Antonsen gagal mencari sebarang jawapan terhadap permainan luar biasa Yu Qi, membolehkan pemain pilihan pertama itu menewaskan pemain Denmark tersebut dengan 21-8.
Ketinggalan 9-11 ketika rehat set kedua, pemain nombor satu dunia itu melancarkan serangan berterusan dan bangkit mata demi mata untuk mengambil alih kedudukan 14-11 dan menamatkan perlawanan dengan kemenangan 21-15 dalam masa 39 minit.
Kemenangan ini tidak hanya membantu pemain berusia 28 tahun itu membalas kekalahan tahun lalu 14-21, 13-21 di final kepada Antonsen, tetapi turut menamatkan penguasaan tiga tahun berturut-turut Denmark selepas pemenang dua pingat emas Olimpik Viktor Axelsen menjuarai kejohanan ini pada 2022 dan 2023.
Yu Qi meluahkan kegembiraannya apabila menjadi pemain perseorangan pertama dari China yang memenangi kejohanan ini sejak ikon badminton dunia, Lin Dan, meraihnya pada edisi 2019.
"Saya rasa prestasi saya sekarang lebih baik berbanding sebelumnya," katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu.
Walaupun kecewa, Antonsen berkata ia bukan hari beliau dan mengakui bahawa lawannya lebih baik pada hari ini.
Sementara itu, An Se Young dari Korea Selatan membuktikan mengapa beliau dianggap sebagai pemain perseorangan wanita 'paling hangat' pada masa ini apabila dengan mudah menepati jangkaan sebagai pilihan utama untuk mempertahankan gelaran Terbuka Malaysia menentang pilihan kedua, Wang Zhi Yi dari China.
Selepas memenangi set pertama 21-17, pemain nombor satu dunia itu terbukti terlalu hebat untuk dihadapi oleh Zhi Yi, menewaskan pemain nombor dua dunia itu dengan 21-7 dalam hanya 45 minit.
"Saya hanya bermain permainan saya dan terus berusaha, itu sebabnya saya dapat menang hari ini," katanya apabila ditanya mengenai faktor utama yang menyumbang kepada kemenangan gelaran pertama musim ini.
Bermula dengan cemerlang pada musim baharu, pemenang pingat emas Sukan Olimpik Paris 2024 itu memberi amaran kepada saingannya bahawa kemenangan hari ini telah memberi keyakinan kepadanya untuk memburu lebih banyak gelaran dan melepasi rekod 10 gelaran yang dicatatkan pada 2023.
Kedua-dua Yu Qi dan Se Young masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai AS$ 101,500 (kira-kira RM456,000) sebagai juara, manakala Antonsen dan Zhi Yi menerima hadiah wang tunai berjumlah AS$49,300 (kira-kira RM221,000).
- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial