BELANJAWAN 2025 > BERITA

Gentari: 2024 Tempoh Utamakan Pertumbuhan

13/01/2025 11:24 AM

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Sepanjang tempoh 2024, penyedia penyelesaian tenaga bersih Gentari Sdn Bhd melakarkan kemajuan penting dalam mengembangkan dan memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju tenaga boleh baharu, hidrogen dan mobiliti hijau di rantau Asia Pasifik.

Kerjasama strategik dengan kalangan peserta industri utama sejak pelancaran rasminya pada 2022 telah menyokong kemajuan strategik Gentari pada 2024, memperteguh keupayaannya untuk memacu peralihan tenaga bersih di rantau ini ke arah masa depan sifar bersih.

Bergandingan dengan kalangan rakan kerjasamanya, Gentari secara aktif mengatasi cabaran untuk menyokong peralihan kepada ekonomi rendah karbon.

 

Sediakan Penyelesaian Tenaga Praktikal di Seluruh Rantau

 

Ketua Pegawai Eksekutif Gentari Sushil Purohit berkata kerjasama dan usaha tertumpu telah membolehkan pihaknya menyumbang kepada inisiatif penyahkarbonan dan menyokong kemajuan yang bermakna.

“Ketika mengakhiri 2024, saya berbangga dengan kemajuan yang telah dicapai oleh Gentari dalam menyediakan penyelesaian tenaga bersih yang praktikal di seluruh Asia Pasifik.

“Kami kekal komited memberikan impak yang boleh diukur ke atas peralihan tenaga," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Sehingga kini, Gentari telah memperoleh 8.0 gigawatt kapasiti tenaga boleh baharu terpasang dan dalam pembinaan di seluruh pasarannya.

 

Jejak Tenaga Boleh Baharu

 

Di Malaysia, syarikat itu telah mencatatkan kemajuan signifikan dalam memperluas jejak tenaga boleh baharu, dengan projek solar terapung akan datang di Sarawak dan Terengganu yang dijangka mengukuhkan sumbangannya kepada peralihan tenaga bersih negara.

Di peringkat rantau, India merekodkan pertumbuhan besar, dengan pencapaian utama meliputi pengoperasian projek solar yang disambungkan ke sistem penghantaran antara negeri, memperoleh projek kuasa hibrid angin-solar, serta kejayaan pengoperasian turbin angin untuk projek solar dan angin dengan sistem penyimpanan tenaga bateri.

Ketua Negara Gentari di India, Navjit Gill berkata pertumbuhan syarikat itu di India pada 2024 menunjukkan wujudnya peluang dalam landskap tenaga yang dinamik di negara tersebut.

“Kami komited menyokong peralihan tenaga di India, sebagai pasaran utama kami, dengan penyelesaian menerusi tenaga boleh baharu, hidrogen, dan mobiliti hijau, seiring dengan keperluan dan keutamaan tempatan,” katanya.

Pasaran lain, seperti Australia, menyaksikan peluasan tenaga boleh baharu Gentari meliputi Keputusan Pelaburan Akhir (FID) untuk projek hibrid solar-BESS (sistem penyimpanan tenaga bateri).

Ketua Pegawai Eksekutif Gentari Solar Australia Andrew Barson berkata Gentari berada di kedudukan ideal untuk memperluas kapasiti tenaga bersih, terutama solar susulan kawasan yang luas dan cahaya matahari yang melimpah di Australia.

“Gentari telah menumpukan kepada pembinaan loji jana kuasa hibrid solar dan BESS “dispatchable” serta meningkatkan portfolio kami dengan infrastruktur BESS untuk memaksimumkan sumbangan kepada potensi tenaga boleh baharu negara ini,” kata Barson.

Bagi hidrogen, Gentari mendapati peluang kematangan hidrogen sebanyak 175.0 kilo tan setahun (KTPA), termasuk FID bersyarat bagi kilang amonia hijau 1.0 juta tan setahun (MTPA) dengan AMG Ammonia di India.

Gentari menjelaskan cadangan dan perancangan projek hidrogen di Malaysia, India, dan Singapura terus berkembang melalui peringkat pembangunan, manakala kerjasama strategik dengan MISC Bhd pula bertujuan memperkukuh keupayaan logistik bagi tonggak hidrogennya.

 

Mobiliti Hijau Terus Berkembang

 

Dalam segmen mobiliti hijau, Gentari terus mengembangkan portfolionya menerusi rakan kongsi tempatan dan serantau, mengakhiri 2024 dengan kira-kira 1,000 terminal pengecasan (CP) di seluruh rantau ini, membentuk sebahagian daripada rangkaian perayauan rentas sempadan yang semakin berkembang dengan lebih 5,000 CP meliputi Malaysia, India, Thailand, dan Singapura.

Bagi meningkatkan lagi kemampanan, Gentari melancarkan BESS pertamanya untuk CP di Perak -- yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara.

Sementara itu, kenderaan-sebagai-satu perkhidmatan (VaaS) Gentari telah digunakan bagi lebih 3,600 kenderaan elektrik (EV) di Malaysia, India, dan Indonesia, menjadikan lebih 44 juta kilometer elektrik yang dipandu dan menyumbang kepada penghindaran karbon kira-kira 1,357 tan karbon dioksida setara (tCO2e).

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Gentari Shah Yang Razalli berkata usaha pihaknya dalam mobiliti hijau membuktikan komitmen Gentari untuk mengatasi cabaran pengangkutan unik di Asia Pasifik di samping menyumbang kepada peralihan yang lebih luas ke arah kemampanan.

“Melalui inisiatif seperti rangkaian perayauan EV rentas sempadan dan tawaran VaaS, kami berusaha untuk memudahkan perniagaan dan individu dalam menggunakan penyelesaian pengangkutan bersih,” kata Shah, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Gentari Green Mobility.

Bagi melengkapkan pengembangan perkhidmatan itu, syarikat memperkenalkan Gentari Go, platform pengalaman pelanggan bersepadu di Malaysia, India, dan Thailand, yang menawarkan platform sehenti untuk penerimagunaan tenaga mampan.

Inisiatif lain adalah melibatkan kerjasama dengan kerajaan tempatan dan sektor seperti automotif, e-dagang, dan kewangan untuk mempercepat peralihan kepada pengangkutan mampan di Malaysia dan rantau ini.

Seiring pandangan jauh ke hadapan, Gentari juga kekal komited untuk memajukan peralihan tenaga dan berbangga dapat menyumbang kepada usaha itu.

Bergandingan dengan kalangan rakan kerjasamanya, Gentari menyasar untuk memacu hasil yang memberi impak bermakna dan mampan, yang akan membentuk masa depan yang lebih bersih dan lebih berdaya tahan untuk rantau ini.

Layari laman web Gentari di http://www.gentari.com untuk mendapatkan maklumat lanjut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan