BELANJAWAN 2025 > BERITA

JPJ Periksa 34 PUSPAKOM, Sita Kenderaan Perdagangan Gagal Patuhi Peraturan

13/01/2025 11:42 AM

PUTRAJAYA, 13 Jan (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memeriksa 37 Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) menerusi Ops Khas di seluruh negara serta menyita kenderaan perdagangan yang gagal mematuhi Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333). 

Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata menerusi Ops Khas PUSPAKOM bermula 31 Dis sehingga kini, sebanyak 21 kenderaan disita antaranya melibatkan kesalahan Lesen Perdagangan Kenderaan Motor palsu dan guna kenderaan tidak berdaftar.

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata kesalahan lain termasuk Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan insurans tamat tempoh serta menggunakan Lesen Perdagangan Kenderaan Motor syarikat lain.

“Daripada jumlah sitaan itu, JPJ turut mengesan sebuah lori diluluskan oleh pihak PUSPAKOM sedangkan keadaan fizikal kenderaan berkenaan tidak mematuhi standard keselamatan kenderaan.

“Tindakan sitaan terhadap kenderaan itu diambil di bawah Seksyen 64(1) Akta 333 bagi mengelakkan berlaku kesalahan berterusan,” katanya. 

Berikutan kes itu, JPJ telah mengadakan kerjasama strategik dengan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi kes melibatkan penyelewengan terhadap keputusan pemeriksaan kenderaan di PUSPAKOM.

“Pihak JPJ juga akan mengadakan penguatkuasaan secara berterusan dan bersepadu dengan agensi penguat kuasa yang lain.

“JPJ sentiasa komited dalam memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya dan berusaha meminimumkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya terutama yang melibatkan kenderaan perdagangan,” katanya.

Ops Khas PUSPAKOM dilaksana untuk memastikan keselamatan kenderaan dan membendung kesalahan teknikal pada kenderaan perdagangan sebelum, semasa, dan selepas melakukan pemeriksaan berkala atau awalan. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan