BELANJAWAN 2025 > BERITA

Polis Rakam Keterangan Khairy Hari Ini

13/01/2025 05:13 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Polis akan merakam keterangan bekas Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin petang ini, berhubung kenyataannya mengenai kewujudan dokumen tambahan membolehkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata pasukan Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman akan merakam keterangan itu di Damansara, Selangor susulan laporan polis yang dibuat Jumaat lepas terhadap dakwaan Khairy.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya kepada Bernama hari ini.

Jumaat lepas, Datuk Suraya Yaacob iaitu Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dan Nor Azrina Surip yang merupakan Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa membuat laporan polis, masing-masing di Putrajaya dan Sentul.

Menerusi salinan laporan polis berkenaan, Suraya dan Nor Azrina mendakwa kenyataan dikeluarkan Khairy yang mengaitkan dua menteri berkenaan adalah tidak benar, memburukkan menteri, mengelirukan dan menimbulkan perasaan tidak senang serta suasana panik dalam kalangan rakyat sehingga berkemungkinan boleh menggugat keamanan negara.

Suraya memaklumkan menerusi artikel dalam Malaysiakini, Khairy yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan mendakwa Azalina bersubahat menyembunyikan dokumen tambahan berkenaan.

“Penggunaan perkataan ‘complicit’ adalah keterlaluan kerana ia membawa maksud terlibat atau dikaitkan dengan perbuatan yang menyalahi undang-undang atau tidak beretika.

“Ia juga membayangkan secara sedar telah membantu, menyokong atau membenarkan perbuatan menyalahi undang-undang terbabit berlaku,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan