BELANJAWAN 2025 > BERITA

Karate Pupuk Disiplin Dalam Diri Bintang Harapan, Thevendran

13/01/2025 08:01 PM

 

Oleh Vikneswaran Raman

 

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Seni mempertahankan diri adalah mengenai disiplin dan itulah yang paling digemari oleh atlet karate muda K. Thevendran terhadap sukan ini.

Pemuda berusia 21 tahun yang berasal dari Pudu di sini, mula-mula didaftarkan dalam kelas karate pada usia empat tahun oleh ibu bapanya untuk memupuk disiplin dalam dirinya kerana dia seorang ‘budak nakal’ di rumah.

Setelah bertahun-tahun, Thevendran telah menjadi individu yang berdisiplin dengan pengurusan masa yang baik untuk memimpin laluannya ke dalam pasukan kebangsaan sehingga meraih beberapa pingat dalam acara serantau, selain berjaya mara ke suku akhir Kejohanan Remaja Dunia.

"Pada mulanya, saya tidak begitu berminat kerana saya masih terlalu muda, tetapi selepas itu saya mula jatuh cinta dengan karate. Karate mengajar saya disiplin, terutamanya dengan tiba 15 minit lebih awal untuk setiap sesi latihan atau acara lain serta mengawal diri dalam pengambilan makanan semasa penurunan berat badan untuk pertandingan.

"Matlamat saya yang terdekat adalah memenangi pingat emas dalam penampilan pertama Sukan SEA di Thailand pada hujung tahun ini dan melangkah lebih jauh dari sana. Saya mengimpikan untuk bersaing dalam Sukan Olimpik suatu hari nanti sekiranya sukan ini kembali ke temasya sukan terbesar di dunia itu," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Thevendran, penuntut tahun akhir Diploma Sains Sukan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), berkata perjalanannya ke pasukan kebangsaan sebahagian besarnya diilhamkan oleh senior-seniornya di kelab dan pasukan kebangsaan, H. Sureeya Shankar dan S. Geerijaieswaran.

"Mereka memberi inspirasi kepada saya untuk menjadikan karate sebagai kerjaya... Saya mahu mengikut jejak langkah mereka dan menyertai pasukan kebangsaan. Saya bermimpi untuk mencapai kejayaan besar dalam karate," kata pemenang tiga pingat emas Kejohanan Karate Persekutuan Karate Asia Tenggara (SEAKF) (bawah 21 tahun).

Ditanya mengenai cabaran berdepan dengan lawan yang lebih berpengalaman, Thevendran berkata beliau sudah biasa bertarung dan bersaing dengan lawan yang lebih berusia, kerana beliau memulakan karate sejak usia yang sangat muda.

Oleh itu, katanya, berhadapan dengan lawan yang lebih berpengalaman tidak menakutkannya.

"Saya tidak rasa tertekan bersaing dengan lawan yang lebih berpengalaman. Tekanan saya hanya berkaitan dengan cara untuk bertarung.

“Biasanya, jurulatih akan menyediakan strategi untuk setiap pasukan atau lawan dan kami akan melaksanakan rancangan tersebut. Semasa sesi latihan dan pertandingan, jurulatih sentiasa memberi motivasi kepada kami untuk terus memperbaiki dan menjadi lebih baik, itu akan membantu saya mengurangkan tekanan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan