BELANJAWAN 2025 > BERITA

MIB Akan Laksanakan Pembakaran Mayat Buruh Paksa Tamil Bina Landasan Kereta Api Maut

13/01/2025 09:58 PM

BANGKOK, 13 Jan  (Bernama) --  Persatuan Masyarakat Malaysia dan India di Bangkok (MIB) merancang untuk membakar mayat 106 pekerja “Romusha” Tamil yang kini dipamerkan di Muzium Perang JEATH di Kanchanaburi, wilayah barat Thailand.

Pengerusi MIB Dr Silva Kumar berkata inisiatif itu diambil berikutan keputusan penutupan muzium berkenaan secara kekal pada penghujung April 2025.

Silva berkata mayat berkenaan, sebahagian daripada warisan sejarah yang mengerikan, ditemukan  semasa projek pembinaan berhampiran Pejabat Gabenor di Kanchanaburi.

“Daripada 500 rangka yang ditemui, 106 telah diserahkan kepada Muzium JEATH oleh Jabatan Arkeologi Universiti Silpakorn, manakala selebihnya telah dibakar oleh sebuah yayasan Cina.

“Penutupan muzium ini memberi peluang untuk pemberian penghormatan terakhir yang lebih bermaruah kepada individu-individu ini," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Beliau berkata, MIB merancang untuk mengadakan upacara pembakaran mayat di Wat Chaichumpon-Chanasongkram, sebuah kuil Buddha di Kanchanaburi, secara berperingkat kerana sukar menguruskan pembakaran 106 mayat dalam satu upacara.

"Para sami akan membacakan doa semasa pembakaran mayat, dan abu mayat akan disimpan untuk upacara pengebumian khas yang melibatkan Nadukal (batu peringatan tradisional Tamil).

"Kos keseluruhan untuk upacara ini dianggarkan sebanyak THB30,000, dan kami sedang mencari sumbangan untuk menampung perbelanjaan ini," katanya.

Menurut Silva, penderitaan yang dialami oleh tawanan perang (POW) pihak Berikat dan buruh paksa Asia, yang dikenali sebagai “Romusha” dalam Bahasa Jepun, semasa pembinaan Rel Kereta Api Thailand-Burma sepanjang 415 kilometer, masih kurang diketahui ramai.

Jumlah sebenar kematian semasa pembinaan rel itu tidak diketahui, namun anggaran menunjukkan kira-kira 100,000 orang terkorban, termasuk 12,000 tawanan perang pihak Berikat dan puluhan ribu “Romusha” yang dipaksa bekerja dalam keadaan yang dahsyat dan berbahaya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan