KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Peranan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN pada tahun ini juga menjadi peluang bagi negara ini menumpukan semula perhatian terhadap 70 juta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang merangkumi 97.2-99.9 peratus perniagaan di rantau ini.
Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) Datuk William Ng berkata 2025 mampu menjadi tahun penting bagi ASEAN serta PMKS di rantau ini, khususnya dalam merangka piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), mempercepat peralihan kepada tenaga boleh baharu dan mempromosi kerjasama ekonomi digital.
“Malaysia mempunyai peluang yang berlaku sekali dalam sedekad untuk memberi kepimpinan bagi memastikan ASEAN erus komited bagi pemerkasaan PMKS,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Di Malaysia, Ng berkata sumbangan PMKS kepada ekonomi dan eksport pada 2018 adalah masing-masing pada kadar 37.4 peratus dan 17.5 peratus.
Menerusi Dasar Keusahawanan Nasional yang diumumkan pada 2019, Malaysia menyasarkan untuk mencapai masing-masing 50 peratus dan 30 peratus bagi sumbangan PMKS terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan eksport.
“Namun, menjelang 2023, angka ini masing-masing hanya dapat mencapai paras 39.1 peratus dan 12.2 peratus.
“Masalah ini bukanlah unik bagi Malaysia. Di Singapura misalnya, sumbangan PMKS terhadap KDNK pada 2017 adalah 60.8 peratus namun turun kepada 44 peratus pada 2022 manakala di Thailand, sumbangan PMKS kepada KDNK adalah 36 peratus pada 2018 tetapi susut kepada 35.2 peratus pada 2023,” katanya.
Ng turut menekankan kepentingan ASEAN untuk bekerjasama dalam memperkenalkan piawaian ESG dan perkaunan serta pelaporan karbon yang lebih praktikal di peringkat serantau dengan kadar segera.
“Ini termasuk mengecualikan perusahaan mikro dan kecil daripada keperluan pelaporan. Dengan tindakan kolektif sebagai satu blok, kita mampu mempengaruhi, jika tidak menentukan piawaian ESG ini,” katanya.
Selain itu, beliau juga menyifatkan 2025 sebagai tahun penting dalam menerima kelebihan ini dan memperluas kerjasama serantau dalam aspek tenaga.
“Pelan Tindakan Kerjasama Tenaga ASEAN (APAEC) telah menunjukkan kejayaan awal dan tahun ini menjadi peluang meneruskan kerjasama ini ke fasa seterusnya.
“Grid Tenaga ASEAN, secara khusus akan meningkatkan keselamatan tenaga, mengurangkan kos tenaga untuk industri dan meningkatkan kecekapan tenaga secara ketara,” katanya.
Ng berkata satu lagi peluang yang harus dimanfaatkan daripada kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada 2025 adalah bagi memuktamadkan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA).
Setiap negara anggota, katanya, perlu memberi fokus kepada faedah dan peluang yang ditawarkan melalui perjanjian ini dan mengetepikan nasionalisme ekonomi.
“DEFA perlu memberi tumpuan kepada perdagangan intra-ASEAN dan bukannya sekadar menjadikan ASEAN sebagai satu pasaran pengguna yang luas,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial