BELANJAWAN 2025 > BERITA

Mesir Sedia Jadi Tuan Rumah Persidangan Antarabangsa Untuk Pembinaan Semula Gaza

14/01/2025 11:44 PM

KAHERAH, 14 Jan (Bernama-AA) -- Mesir menyatakan kesediaannya untuk menjadi tuan rumah persidangan antarabangsa bagi pembinaan semula Semenanjung Gaza, susulan jangkaan tercapainya perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Palestin, lapor Agensi Anadolu (AA).

"Mesir bersedia, apabila keadaan mengizinkan selepas gencatan senjata di Gaza, untuk menganjurkan persidangan antarabangsa bagi pembinaan semula wilayah itu," kata Menteri Luar Badr Abdealatty pada sidang akhbar bersama rakan sejawatnya dari Luxembourg, Xavier Bettel, di Kaherah.

Sudah tiba masanya untuk kehendak politik sejajar bagi mencapai persetujuan gencatan senjata di Gaza," katanya.

Qatar pada Selasa menyatakan bahawa rundingan gencatan senjata di Gaza berada pada "perincian akhir" dan pengumuman perjanjian itu adalah “hampir pasti.”

"Draf perjanjian telah diserahkan kepada kedua-dua pihak, Hamas dan Israel, dan halangan utama dalam isu-isu kontroversi telah diselesaikan," kata jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed al-Ansari, dalam sidang akhbar di Doha.

Kumpulan pejuang Palestin, Hamas turut mengesahkan bahawa gencatan senjata di Gaza dan perjanjian pertukaran tahanan kini berada di "peringkat akhir."

Terdahulu sumber Palestin sebelum ini menyatakan bahawa perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan hampir siap dan dijangka dimeterai menjelang Jumaat.

Sumber itu yang enggan identitinya didedahkan kerana sensitiviti rundingan itu memberitahu Anadolu,  terdapat kemajuan untuk memuktamadkan perjanjian berkenaan.

Israel terus melancarkan serangan besar-besaran ke atas Gaza, yang telah mengorbankan lebih 46,600 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak. Meskipun terdapat resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menggesa gencatan senjata segera.

Pada November 2024, Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Israel juga berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa atas tindakan ketenteraannya di wilayah itu.

-- BERNAMA-AA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan