BELANJAWAN 2025 > BERITA

Malaysia Perlukan Transformasi Digital Dalam Aspek Ekonomi, Kewangan

14/01/2025 11:50 PM

Daripada Kamarul Ariffin Md Yassin

ABU DHABI, 14 Jan (Bernama) -- Malaysia perlu melakukan transformasi digital dalam aspek ekonomi dan kewangan dengan menumpukan kepada perkara seperti “blockchain” dan mata wang kripto supaya tidak ketinggalan dengan perkembangan terkini era digitalisasi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bercakap kepada wartawan Malaysia dalam sidang media pada akhir lawatan beliau ke Emiriah Arab Bersau (UAE) di sini, pada Selasa, beliau berkata transformasi digital bukan sekadar pusat data dan kecerdasan buatan (AI).

“Kita berdepan dengan beberapa tuntutan dan perubahan. Kita kena tinggalkan model perniagaan dan perdagangan lama dan tidak lagi terikat dengan sistem kewangan lapuk dan lama. Tumpu kepada dasar digital baharu..,seperti fintech (teknologi kewangan),” kata Anwar yang juga Menteri Kewangan.

Beliau turut mencadangkan supaya semua agensi berkaitan seperti Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Perbendaharaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) meneliti bidang itu supaya Malaysia tidak ketinggalan dan pada masa sama mengawalnya bagi melindungi kepentingan rakyat.

“Ini inovasi yang akan merombak semula dunia kewangan...jangan kita terpaksa lakukan selepas orang lain lakukan. UAE sudah ke depan dalam bidang ini dan boleh bekerjsama rapat dengan Malaysia. Kita tak boleh mula dari awal, perlu belajar daripada pengalaman pihak lain,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan