Oleh Arul Rajoo Durar Raj
LONDON, 15 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di ibu negara United Kingdom (UK) hari ini untuk lawatan kerja selama lima hari ke negara yang merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota Kesatuan Eropah.
Pesawat yang membawa Perdana Menteri mendarat di Lapangan Terbang Stansted pada pukul 10.50 malam waktu tempatan, Selasa (6.50 pagi Rabu, waktu Malaysia) dari Abu Dhabi, selepas beliau menamatkan lawatan tiga hari ke Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Ketibaan beliau di lapangan terbang disambut Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK dan Ireland Utara Datuk Zakri Jaafar, Atase Pertahanan Datuk Brig. Jeneral Safwan @ Asri Ismail, serta Wakil Khas Setiausaha Hal Ehwal Luar Negeri Richard Wildash dan Kuasa Usaha, Suruhanjaya Tinggi British di Kuala Lumpur David Wallace.
Lawatan ini, atas jemputan rakan sejawatnya Keir Starmer, merupakan kunjungan pertama Anwar ke UK sejak memegang jawatan Perdana Menteri pada November 2022.
Sepanjang lawatan berkenaan, Anwar diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Pada Rabu, Anwar dijadualkan mengadakan pertemuan dua hala dengan Starmer untuk menilai kemajuan hubungan bilateral Malaysia-UK dan membincangkan usaha untuk memperkukuh kerjasama dalam perdagangan dan pelaburan.
Mereka juga dijangka membincangkan perkara berkaitan pendidikan tinggi, perubahan iklim dan tenaga boleh dibaharui, agrokomoditi dan pelancongan.
Kedua-dua Perdana Menteri juga dijangka menyentuh mengenai isu serantau dan antarabangsa serta bertukar-tukar pandangan mengenai hubungan UK sebagai rakan dialog ASEAN.
Menurut Zakri, sebagai Pengerusi ASEAN bagi 2025, Perdana Menteri akan menekankan keutamaan Malaysia serta usaha ASEAN dalam menangani cabaran serantau dan global.
Semasa di London, Anwar dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Speaker House of Commons Sir Lindsay Hoyle, serta menyampaikan ucaptama di InvestMalaysia.
Beliau juga akan mengadakan sesi meja bulat dan perniagaan langsung dengan pemimpin industri, serta merasmikan Auditorium Malaysia di London School of Economics (LSE), diikuti dengan syarahan khas.
Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Jawatankuasa Ekonomi dan Perdagangan Bersama Malaysia-UK dan Mekanisme Sokongan Lain (MUKJETCO) akan ditandatangani semasa lawatan ini.
Anwar juga akan menghadiri pelancaran projek ladang solar oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) Malaysia dan pelancaran produk oleh YTL Group UK, serta melawat ke Stesen Janakuasa Battersea, yang merupakan pelaburan terbesar Malaysia yang melibatkan dana awam, di Eropah.
Kementerian Luar Negeri memaklumkan bahawa lawatan ke UK ini menekankan hubungan erat antara kedua-dua negara dan memberi peluang kepada Malaysia dan UK untuk memperkukuh kerjasama dua hala demi manfaat bersama.
Perdagangan dan pelaburan kekal sebagai tonggak utama dalam hubungan Malaysia-UK, dengan UK menjadi rakan dagang keempat terbesar Malaysia dalam kalangan negara Eropah, dengan nilai dagangan berjumlah RM15.30 bilion (USD3.34 bilion).
Jumlah eksport direkodkan sebanyak RM7.83 bilion (US$1.71 bilion), manakala jumlah import adalah RM7.47 bilion (US$1.63 bilion) berbanding tempoh sama pada 2023.
Pada 19 Jan, Perdana Menteri akan berlepas ke Brussels untuk meneruskan penglibatan antarabangsa beliau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial