BELANJAWAN 2025 > BERITA

CCAM Rayu Sokongan Orang Ramai Selamatkan Nyawa 14 Kanak-kanak Kanser

15/01/2025 04:28 PM

SUBANG JAYA, 15 Jan (Bernama) -- Persatuan Kanser Kanak-Kanak Malaysia (CCAM) merayu kepada orang ramai untuk memberikan sokongan dengan segera bagi menyelamatkan nyawa 14 kanak-kanak yang kini sedang berjuang melawan kanser.

Pengasas dan Pengerusi CCAM Lavaniyah Ganapathy, berkata persatuan itu telah menetapkan sasaran kutipan dana sebanyak RM1.8 juta, bertujuan menyediakan rawatan penting, termasuk kemungkinan penjagaan khas di luar negara untuk kanak-kanak ini, yang kini menerima rawatan di pelbagai institusi kesihatan sekitar Lembah Klang.

“Malaysia merekodkan kira-kira 800 kes baharu kanser kanak-kanak setiap tahun. Walaupun kadar kelangsungan hidup kanser kanak-kanak di peringkat global adalah 95 peratus dengan rawatan yang tepat pada masanya, hanya 65 peratus kanak-kanak yang menghidap kanser di Malaysia yang bertahan.

“Baki 35 peratus meninggal dunia akibat penyakit ini tanpa keperluan disebabkan kurang kesedaran dan halangan kewangan. Pada tahun 2023 sahaja, lebih daripada 220 kanak-kanak di Malaysia kehilangan nyawa akibat kanser walaupun mempunyai peluang tinggi untuk pulih. Setiap hari yang berlalu adalah seperti perlumbaan melawan masa,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Beliau berkata ramai keluarga di Malaysia sedang menghadapi kebankrapan perubatan kerana rawatan kanser terlalu mahal, yang bukan sahaja menjejaskan keluarga berpendapatan rendah tetapi juga mereka dari kalangan isi rumah berpendapatan sederhana.

“Pada masa ini, di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), terdapat kira-kira lapan kanak-kanak yang memerlukan rawatan, dengan kos RM60,000 sebulan. Selain itu, terdapat kanak-kanak yang menunggu Terapi CAR T-Cell, yang tidak tersedia di Malaysia dan memerlukan rawatan di Singapura, dengan kos kira-kira RM825,000.

“Terdapat seorang kanak-kanak yang memerlukan RM750,000 untuk rawatan Blinatumomab. Selain itu, terdapat juga beberapa kanak-kanak lain yang memerlukan kos rawatan bulanan sekitar RM40,000 setiap seorang. Kutipan dana sebanyak RM1.8 juta yang disasarkan diharap akan cukup untuk menampung kos rawatan mereka,” katanya.

Beliau berkata sejak CCAM ditubuhkan pada 2022, persatuan ini telah membantu hampir 80 kanak-kanak dan menambah bahawa individu yang ingin menyumbang boleh membuat derma ke akaun Pertubuhan Kanser Kanak-Kanak Malaysia di Hong Leong Bank, nombor akaun 21400086276.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan