BELANJAWAN 2025 > BERITA

Bursa Malaysia Akhiri Peningkatan Sesi Awal Untuk Ditutup Rendah

15/01/2025 07:13 PM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) -- Bursa Malaysia mengkhiri peningkatan pada sesi awal untuk ditutup rendah hari ini, dengan lebih 900 saham mengalami kerugian, mencerminkan penurunan keyakinan yang berterusan dalam pasaran.  

Prestasi kurang memberangsangkan itu seiring dengan prestasi pasaran serantau yang lemah, terjejas ekoran sentimen berhati-hati menjelang pengeluaran data Indeks Harga Pengguna (IHP) Amerika Syarikat (AS) lewat hari ini.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 14.34 mata, mewakili 0.91 peratus, kepada 1,562.12 berbanding 1,576.46 ketika ditutup pada Selasa.

Dalam tempoh tiga hari dagangan, FBM KLCI susut sebanyak 40.29 mata.

Indeks penanda aras itu dibuka 5.87 mata lebih tinggi pada 1,582.33 dan meningkat kepada paras tertinggi intra hari 1,586.21 pada sesi awal dagangan sebelum berdepan tekanan jualan dan menurun kepada paras terendah intra hari 1,558.60 pada dagangan saat akhir.

Di keseluruhan pasaran adalah negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 964 berbanding 193, manakala 419 kaunter tidak berubah, 799 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.

Jumlah dagangan menurun kepada 3.40 bilion unit bernilai RM3.08 bilion berbanding 3.45 bilion unit bernilai RM2.72 bilion pada Selasa.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata mengikut sejarah, pelabur Malaysia cenderung ke arah selera risiko yang lebih konservatif iaitu dengan memilih untuk mengelak pasaran ekuiti ketika ketidaktentuan meningkat, berbanding rakan pelabur asing.  

“Dengan kebimbangan berterusan terhadap data ekonomi AS yang kukuh menangguhkan pelonggaran dasar dan risiko geopolitik yang dikaitkan dengan potensi pentadbiran (Donald) Trump 2.0, pelabur domestik berkemungkinan kekal berhati-hati sehingga keadaan ekonomi dan dasar global kembali stabil,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata spekulasi baru-baru ini mengenai Biro Industri dan Keselamatan Jabatan Perdagangan AS menambah sentimen berhati-hati ini, apabila ia menyatakan pengeksport semikonduktor Asia mungkin berhadapan peraturan lebih ketat dan peningkatan usaha wajar untuk menghalang cip termaju sampai kepada pelanggan China seperti Huawei.

“Jika ia berlaku, peraturan ini akan menyasarkan pengeluar semikonduktor terbesar di dunia, yang mengganggu rantaian bekalan di sumbernya.

"Meskipun ia belum disahkan, perkembangan ini memburukkan sentimen dan mempengaruhi penilaian risiko pelabur," katanya.

Di peringkat serantau, Nikkei Jepun 225 susut 0.08 peratus kepada 38,444.58, Indeks Straits Times Singapura merosot 0.45 peratus kepada 3,771.72, Kospi Korea Selatan susut 0.02 peratus kepada 2,496.81, dan Indeks Komposit Shanghai China turun 0.43 peratus kepada 3,227.12.

Di bursa tempatan, saham wajaran tinggi Maybank susut enam sen kepada RM10.14, CIMB merosot 12 sen kepada RM7.85 dan Tenaga turun 32 sen kepada RM13.50, manakala Public Bank tidak berubah pada RM4.40 dan IHH meningkat dua sen kepada RM7.10.

Antara kaunter paling rugi, Petronas Dagangan turun 70 sen kepada RM18.82, Malaysian Pacific Industries susut 66 sen kepada RM22.56, Fraser and Neave turun 60 sen kepada RM26.20, Sunmow Holdings merosot 49 sen kepada RM1.35, dan Allianz Malaysia susut 46 sen kepada RM19.90.

Bagi saham aktif, EA Holdings tidak berubah pada setengah sen, MYEG susut 4.5 sen kepada 89 sen, Gamuda turun 27 sen kepada RM4.45, Velesto Energy turun setengah sen kepada 16 sen, manakala YTL Corporation menambah satu sen kepada RM2.19.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 165.25 mata kepada 11,951.72, Indeks FBM Emas Shariah turun 224.49 mata kepada 11,829.04, dan Indeks FBMT 100 susut 159.18 mata kepada 11,642.45.

Indeks FBM 70 merosot 438.35 mata kepada 17,792.55 manakala Indeks FBM ACE susut 109.38 mata kepada 5,151.20.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga susut 11.23 mata kepada 821.79, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 95.90 mata kepada 18,666.92, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 1.01 mata kepada 166.05, dan Indeks Perladangan turun 29.35 mata kepada 7,370.01.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.78 bilion unit bernilai RM2.81 bilion berbanding 1.59 bilion unit bernilai RM2.43 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran susut kepada 1.04 bilion unit bernilai RM97.22 juta berbanding 1.38 bilion unit bernilai RM139.27 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE naik kepada 578.93 juta unit bernilai RM170.99 juta daripada 473.57 juta unit bernilai RM154.59 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 187.78 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (327.60 juta), pembinaan (165.98 juta), teknologi (335.46 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (89.02 juta), hartanah (244.38 juta), perladangan (31.24 juta), REIT (9.92 juta), dana tertutup (52,900), tenaga (164.77 juta), penjagaan kesihatan (79.09 juta), telekomunikasi dan media (46.15 juta), pengangkutan dan logistik (16.07 juta), utiliti (89.21 juta), dan amanah perniagaan (29,800).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan