BELANJAWAN 2025 > BERITA

Pasaran Modal Malaysia RM4 Trilion Pacu Pertumbuhan Perniagaan Dan Pelabur - Wahid Omar

16/01/2025 10:25 PM

Oleh D.Arul Rajoo

LONDON, 16 Jan (Bernama) -- Ekuiti dan pasaran modal hutang Malaysia berjumlah RM4 trilion berada pada kedudukan baik untuk menyokong pertumbuhan negara, membolehkan perniagaan dan pelabur mendapat faedah daripada peluang baharu yang muncul, kata Pengerusi Bursa Malaysia Bhd Tan Sri Abdul Wahid Omar hari ini.

"Melabur di Malaysia lebih daripada sekadar peluang pelaburan, ia juga mengenai kualiti dan keyakinan di sebalik bagaimana peluang ini disampaikan dan dikekalkan," katanya.

Program transformasi syarikat senaraian awam di Bursa Malaysia menyasarkan untuk memacu standard prestasi dan daya saing lebih tinggi dalam kalangan syarikat tersenarainya, memastikan pertumbuhan mereka sejajar dengan amalan terbaik, penjagaan alam sekitar dan standard tertinggi tadbir urus korporat, katanya.

“Sebagai pertukaran berbilang aset yang progresif, Bursa Malaysia juga terus menerajui inisiatif inovatif dan meluaskan kebolehcapaian pasaran,” katanya ketika berucap pada Invest Malaysia London 2025, bertemakan “Malaysia’s Economic Resurgence, Driving ASEAN’s growth”, di sini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucaptama pada acara Invest Malaysia itu.

Sejak 2005, Bursa Malaysia telah menganjurkan 59 program Invest Malaysia di luar Malaysia, di pusat kewangan utama untuk mempamerkan cadangan nilai negara yang kukuh dan daya tarikannya kepada pelabur global.

Beliau berkata beberapa inisiatif penting ini termasuk, antara lain, pertukaran karbon patuh Shariah pertama di dunia, Penyelesaian Perisikan Kelestarian Berpusat (CSI) dan Bursa Gold Dinar, semuanya telah dilancarkan pada 2024.

Menggariskan beberapa pencapaian utama Bursa Malaysia tahun lepas, Abdul Wahid berkata indeks penanda aras, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 12.9 peratus pada 2024, menjadikan Bursa Malaysia antara pasaran berprestasi terbaik di ASEAN.

Ia  permodalan pasaran keseluruhan Bursa Malaysia melepasi paras RM2 trilion buat kali pertama pada Mei 2024, pasaran bergerak sangat aktif dengan purata nilai dagangan harian meningkat sebanyak 53 peratus kepada RM3.15 bilion daripada RM2 .06 bilion pada 2023, manakala pelabur asing menyumbang 36 peratus kepada jumlah nilai dagangan.

Bursa Malaysia merupakan bursa saham terkemuka untuk tawaran awam permulaan (IPO) di ASEAN dengan 55 penyenaraian baharu tahun lepas, mengumpul US$1.65 bilion atau RM7.41 bilion, mendahului Bursa Saham Indonesia pada US$899 juta dan Bursa Saham Singapura pada US$811 juta dengan jumlah permodalan pasaran IPO sebanyak RM31.4 bilion, katanya.

Abdul Wahid berkata ia jauh lebih tinggi daripada 32 penyenaraian pada 2023 dan merupakan yang tertinggi sejak 2006, menyaksikan 40 penyenaraian,

"Malaysia memegang jawatan pengerusi ASEAN pada 2025, justeru di pihak Bursa Malaysia, kami akan mengukuhkan kerjasama serantau dan meningkatkan hubungan dengan bursa saham dan ekosistem di seluruh ASEAN terutamanya melalui inisiatif seperti Ekosistem Kelestarian Bersaling ASEAN (ASEAN-ISE) dan Rangka Kerja Karbon Bersama ASEAN (ACCF), menyasarkan untuk meningkatkan lagi daya tarikan dan daya tahan rantau ini," tambahnya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan