BELANJAWAN 2025 > BERITA

Meta Dalam Proses Akhir Peroleh Lesen Kelas ASP - Fahmi

17/01/2025 12:34 AM

KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- Gergasi media sosial Meta kini dalam peringkat akhir mendapatkan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan (ASP) di Malaysia, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata syarikat induk Facebook dan Instagram itu sedang menyiapkan dokumentasi untuk memenuhi keperluan perundangan khas sebagai sebahagian daripada proses pelesenan itu.

"Meta dalam proses akhir menyerahkan beberapa dokumen," katanya dalam rancangan bual bicara RTM On The Table yang menampilkan topik ‘Social Media Licensing in Malaysia: Key Insights & Impact’.

Fahmi berkata penyedia platform lain seperti Google dan X (sebelum ini dikenali sebagai Twitter) sedang melalui penilaian bagi memastikan status pematuhan mereka.

Beliau berkata Google bagaimanapun mendakwa mereka bukan platform media sosial namun kementerian tetap dengan pendirian bahawa beberapa bahagian YouTube di bawah Google seperti YouTube Shorts berfungsi seperti media sosial, menyerupai TikTok.

“Sementara X mendakwa mereka mempunyai kurang daripada lapan juta pengguna di Malaysia, yang mengecualikan mereka daripada keperluan pelesenan...kini, kami sedang menyiasat dakwaan ini dan meneruskan libat urus bagi memastikan kesemua platform mematuhi garis panduan tersebut," katanya.

Menteri Komunikasi itu berkata perbincangan sedang dijalankan bersama Microsoft yang memiliki LinkedIn, susulan laporan menunjukkan pangkalan pengguna Malaysia platform itu boleh melebihi lapan juta dalam suku pertama 2025.

"Kami telah menghubungi Microsoft kerana LinkedIn menganggarkan pangkalan pengguna mereka akan melepas tahap ambang. Selain itu, kami telah menerima aduan mengenai penipuan pekerjaan (job scam) di LinkedIn dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang giat berurusan dengan mereka bagi menangani kebimbangan ini," katanya.

Fahmi turut menekankan komitmen kerajaan untuk menguatkuasakan pelesenan bagi platform-platform yang melebihi ambang pengguna ditetapkan, sambil mengimbangi peraturan dengan kebebasan bersuara dan memastikan keselamatan dalam talian.  

"Isu ini bukan mengenai kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Ini mengenai keselamatan dalam talian. Ia tentang memastikan di samping kita mempunyai akses internet mudah alih yang lebih murah, lebih pantas, kita juga mahukan internet yang lebih selamat, terutamanya untuk kanak-kanak dan keluarga kita," katanya.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan