PORT DICKSON, 17 Jan (Bernama) -- Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) mengambil inisiatif proaktif membangunkan kubah pengering solar pertama di negeri ini bagi meningkatkan pengeluaran ikan kering sekali gus memperkasakan ekonomi komuniti nelayan di Teluk Kemang.
Pengerusi MAINS Datuk Seri Dr Abdul Aziz Sheikh Ab Kadir berkata kerjasama strategik bersama Bank Muamalat Malaysia Berhad diharapkan dapat memberi manfaat kepada lebih 200 nelayan dengan menambah pendapatan dalam penghasilan pelbagai jenis ikan kering atau ikan masin.
"Kubah pengering itu adalah daripada dana wakaf dikumpulkan melalui inisiatif wakaf MAINS, bertujuan membantu meningkatkan pendapatan komuniti nelayan di sini, fasiliti ini dapat memproses ikan kering lebih cepat iaitu dalam masa tiga hingga empat jam bagi ikan bersaiz kecil, sebelum ini memerlukan masa empat hingga lima hari, kalau musim hujan, mungkin lebih lama.
“Contohnya, ikan talang segar berharga lingkungan RM5 sekilogram itu kadang-kadang kurang pembeli, tetapi ikan talang kalau dijadikan ikan masin harga mencecah RM40 sekilogram," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kubah pengering solar di Persatuan Nelayan Teluk Kemang dekat sini.
Beliau berkata menerusi teknologi itu, ikan dapat dikeringkan secara lebih efisien, bersih dan konsisten sekali gus meningkatkan daya saing produk tempatan di pasaran.
Abdul Aziz berkata menjelang Ramadan, permintaan terhadap ikan kering akan meningkat kerana makanan itu menjadi pilihan juadah berbuka puasa dan bersahur.
Beliau berkata selain memproses ikan kering, fasiliti itu juga boleh digunakan untuk menghasilkan cili kering.
"Kubah pengering itu juga boleh digunakan untuk mengeringkan sayuran seperti cili, harga cili kering lebih mahal, kebanyakan cili kering ini kita import, jadi manfaatkan fasiliti ini sebaiknya," katanya sambil menambah para nelayan di sekitar Port Dickson juga boleh menggunakan kemudahan berkenaan.
Sementara itu, Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kawasan Teluk Kemang, Mohd Faudzi Mohamed Zakaria berkata kos keseluruhan pembinaan fasiliti itu lebih RM130,000 dan proses penghasilan ikan kering menggunakan tenaga solar lebih berkualiti dan dijamin bersih.
Mohd Faudzi berkata pihaknya menerima fasiliti itu pada pertengahan tahun lepas dan permintaan produk ikan kering meningkat terutamanya dalam kalangan penduduk di negeri ini.
"Kubah pengering itu satu teknologi yang amat bermanfaat untuk para nelayan, daya tahan ikan kering lebih lama iaitu hingga dua tahun berbanding ikan segar. Jadi ada nilainya, contoh ikan jenahak segar di negeri ini dijual antara RM45 hingga RM48 sekilogram tetapi kalau dijadikan ikan masin harga boleh naik mencecah RM60 hingga RM70 sekilogram," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial