PUTRAJAYA, 17 Jan (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) membatalkan notifikasi produk kosmetik ‘JL Fara Seaweed’ kerana dikesan mengandungi racun berjadual iaitu merkuri dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.
Selaras keputusan itu, KKM menggesa orang awam mengelak membeli produk berkenaan manakala penjual dan pengedar juga perlu menghentikan penjualan serta pengedaran dengan serta-merta.
“Penjualan dan pengedaran produk kosmetik itu melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” demikian menurut KKM dalam kenyataan hari ini.
Merkuri dilarang di dalam produk kosmetik kerana boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan buah pinggang dan sistem saraf serta boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak masih kecil atau yang belum dilahirkan.
Individu yang melakukan kesalahan itu boleh dikenakan denda maksimum RM25,000 atau hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama, dan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan berikutnya.
Syarikat yang melanggar peraturan itu pula boleh didenda hingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan hingga RM100,000 bagi kesalahan berikutnya.
Orang awam yang sedang menggunakan produk kosmetik itu dinasihatkan segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial