BELANJAWAN 2025 > BERITA

MAIPs Peruntuk Lebih RM9 Juta Untuk Bantuan Persekolahan 2025

18/01/2025 11:44 AM

KANGAR, 18 Jan (Bernama) -- Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memperuntukkan RM9,065,700 untuk Bantuan Persekolahan MAIPs bagi tahun 2025 yang akan memanfaatkan 12,951 pelajar sekolah di Perlis.

MAIPs dalam kenyataan hari ini memaklumkan bantuan itu akan disalurkan kepada 5,073 pelajar sekolah menengah, 7,802 pelajar sekolah rendah, 38 pelajar sekolah menengah agama rakyat dan 38 lagi pelajar sekolah rendah agama rakyat, dengan masing-masing pelajar akan akan menerima RM700 tiap seorang.

MAIPs berkata simbolik penyerahan bantuan itu disempurnakan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Arau baru-baru ini.

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Yang Dipertua MAIPs dalam kenyataan sama bertitah MAIPs sentiasa prihatin terhadap pembangunan pendidikan di negeri berkenaan.

"Justeru saban tahun MAIPs akan menyalurkan bantuan persekolahan untuk dimanfaatkan oleh ribuan pelajar di seluruh negeri Perlis. Diharapkan bantuan ini dapat memberikan semangat serta pemangkin kepada kecemerlangan anak-anak pelajar yang dikasihi," titah baginda.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan