PETALING JAYA, 18 Jan (Bernama) -- Malaysia menyasarkan untuk mendaftar 5,000 syarikat permula baharu menjelang pada tahun ini, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.
Beliau berkata sasaran itu selaras Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup Malaysia (SUPER) 2021-2030 dan setakat ini terdapat 4,415 syarikat permula yang sudah berdaftar.
"Kami berada di landasan tepat dan menghampiri sasaran kami tetapi sudah tentu berharap mencapai jumlah yang lebih banyak," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Versa Quests, ciri baharu dalam aplikasi Versa iaitu platform pengurusan kekayaan digital.
Chang berkata bagi menyokong pertumbuhan syarikat pemula tempatan seperti Versa, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) komited bagi membantu syarikat dengan menyediakan bimbingan untuk menghubungkan mereka dengan bakal pelabur dan pelanggan.
Beliau berkata kementerian menawarkan geran termasuk CIP SPARK dan CIP SPRINT melalui Cradle Fund kepada syarikat yang layak.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Versa Teoh Wei Xiang berkata pelancaran itu menandakan langkah pertama syarikat untuk berkembang kerana ia menggabungkan “pencarian” dan gamifikasi ke dalam platform, menjadikan pembelajaran tentang kewangan serta mengurus kekayaan lebih menyeronokkan.
Versa Quests direka menjadikan penjimatan wang lebih bermanfaat untuk pengguna. Dengan mengambil bahagian dalam pelbagai cabaran dikenali sebagai “pencarian”, pengguna boleh mengumpulkan pelbagai ganjaran, membolehkan mereka mencapai pulangan bersih lebih tinggi pada akaun Versa Cash atau Versa Cash-i.
Dalam tempoh tiga tahun, Versa telah berkembang kepada hampir 300,000 pengguna dengan aset bernilai lebih RM500 juta diuruskan pada 2024.
Duta Versa Khairy Jamaluddin berkata Versa Quest selari dengan objektif peribadinya iaitu untuk memastikan golongan muda di Malaysia berpeluang menyimpan dan melabur.
"Saya sendiri menggunakan Versa. Saya melabur bermakna saya menyimpan wang saya di Versa dan banyak produk di Versa patuh Syariah, jadi ini meningkatkan keyakinan terutama dalam kalangan pelabur Islam di Malaysia," katanya.
Terdahulu, Tengku Arif Temenggong Pahang Tengku Fahd Mua'adzam Sultan Ahmad Shah berkenan menyempurnakan pelancaran Versa Quests.
Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Kumbong dan Pengerusi Versa Datuk Noorazman Abd Aziz.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial