BELANJAWAN 2025 > BERITA

Fahmi Sumbang RM10,000 Kepada Kelab Berbasikal Bandaraya Kl, Rancakkan Gaya Hidup Sihat

18/01/2025 04:35 PM

KUALA LUMPUR, 18 Jan (Bernama) -- Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil mengumumkan sumbangan RM10,000 untuk menyokong inisiatif berbasikal di bawah Kelab Berbasikal Bandaraya Kuala Lumpur.

Pengumuman itu dibuat sempena penganjuran Kayuhan Amal Mesra 50 Tahun Wilayah Persekutuan  yang turut memberi penghormatan kepada bekas atlet berbasikal negara atas sumbangan mereka kepada sukan itu.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi semasa berucap di majlis tersebut menekankan kepentingan menyokong kelab dan persatuan sukan yang telah memainkan peranan penting dalam memberi manfaat kepada warga kota.

Beliau menyifatkan ia sebagai sebahagian daripada tanggungjawabnya sebagai Ahli Parlimen untuk memastikan pertubuhan-pertubuhan ini meneruskan kerja yang memberi impak.

“Saya merasakan sebagai ahli Parlimen di Kuala Lumpur, ada keperluan untuk kami ahli-ahli Parlimen memberi sokongan, dukungan termasuk kepada kelab-kelab di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana rakan-rakan dalam DBKL banyak membantu warga Kuala Lumpur, maka kami ahli Parlimen juga turut bersama, harus bersama untuk membantu,” katanya.

Tujuh bekas atlet berbasikal 90-an menerima sumbangan di majlis itu, antaranya Harris Fadzillah Osman, Musairi Musa, Shahrulneza Razali dan Khairulfizal Hashim.

Kayuhan amal yang dijadualkan pada September ini bakal menyaksikan penyertaan lebih 400 peserta seterusnya menggalakkan gaya hidup sihat dan aktif dalam kalangan penduduk ibu kota.

Fahmi turut menekankan kepentingan pemeriksaan kesihatan secara berkala, memantau paras gula dalam darah, kolesterol dan tekanan darah, di samping menggalakkan warga kota termasuk kakitangan DBKL mengamalkan gaya hidup lebih sihat melalui aktiviti seperti berbasikal.

Sementara itu Fahmi turut mengiktiraf usaha DBKL dalam menangani isu seperti kesesakan lalu lintas dan kenderaan terbiar di kawasan perumahan awam.

“Sebagai ahli Parlimen dan sebahagian daripada pentadbiran, saya di sini sebagai jurucakap dan pendengar. Jika ada apa-apa perkara yang perlu dibangkitkan kepada Perdana Menteri atau pihak berkuasa berkaitan, saya sedia membantu,” katanya.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan