BELANJAWAN 2025 > BERITA

Kenderaan Barangan Dilarang Berada Di Jalan Raya Selama Empat Hari Sempena TBC

18/01/2025 03:49 PM

KUALA LUMPUR, 18 Jan (Bernama) -- Kenderaan barangan dilarang berada di atas jalan raya selama empat hari sempena sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) ini.

Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam kenyataan memaklumkan larangan itu akan dikuatkuasakan pada 27 dan 28 Jan (sebelum perayaan) serta pada 1 dan 2 Feb (selepas perayaan), mengambil kira peningkatan trafik ketara khususnya bagi kenderaan persendirian yang akan bergerak pulang ke kampung halaman.

MOT berkata tujuan utama larangan itu adalah bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas serta mengurangkan risiko nahas jalan raya akibat percampuran trafik antara kenderaan barangan dengan kenderaan persendirian.

“Selain itu, Perintah Penurunan Had Laju Kebangsaan juga akan dikuatkuasakan bersama-sama larangan pemanduan ini bermula 28 Jan hingga 2 Feb depan sepanjang pelaksanaan Op Selamat PDRM," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menyatakan bagi memastikan pematuhan terhadap perintah larangan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mempertingkatkan aktiviti penguatkuasaan di seluruh negara menerusi pelaksanaan Op Tahun Baru Cina (TBC) 2025 dan operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasaan lain.

MOT turut menasihatkan semua pemandu supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya serta memastikan aspek keselamatan menjadi keutamaan semasa memandu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan