Oleh Muhamad Adzhar Tajuddin
IPOH, 19 Jan (Bernama) -- Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak mengesahkan menerima aduan berhubung serangan harimau belang terhadap lembu ternakan penduduk di kawasan berhampiran Kampung Kolam, Tanjung Rambutan di sini, Jumaat lepas.
Pengarahnya Yusoff Shariff berkata laporan berhubung serangan haiwan pemangsa itu dibuat oleh penduduk kampung kira-kira 12 tengah hari.
“Kita yakin haiwan pemangsa yang menyerang merupakan harimau dewasa berdasarkan kesan tapak kaki dan serangan yang dilakukan terhadap lembu berkenaan.
“Bagaimanapun, perincian lanjut mengenai jantina dan berat (harimau belang) hanya akan dapat kita ketahui melalui kamera yang dipasang anggota Perhilitian di kawasan lokasi kejadian (semalam),” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Terdahulu, kehadiran haiwan dikenali dengan nama saintifik Panthera tigris jacksoni itu ialah kejadian kali kedua selepas penemuan tapak kaki di beberapa lokasi berasingan di kampung berkenaan pada 21 Dis 2023.
Yusoff berkata pihaknya percaya harimau itu berkemungkinan besar pemangsa sama dikesan membaham lembu di kawasan berhampiran Kampung Orang Asli Sungai Choh, Ulu Kinta di sini pada 26 Dis lepas.
“Kemungkinan (harimau belang yang sama) itu ada disebabkan jarak antara kedua-kedua kampung berkenaan tidak terlalu jauh serta menjadi laluannya mencari sumber makanan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya meminta penduduk kampung supaya mengawasi dan tidak membiarkan haiwan ternakan mereka bebas berkeliaran terutama di lokasi kejadian.
"Sebaiknya tempatkan haiwan ternakan dalam kandang dan jangan sesekali biarkan bebas berkeliaran kerana boleh mengundang risiko kejadian serangan berulang," katanya.
Sementara itu, penduduk kampung Muhammad Haniff Abd Aziz, 41, berkata pihaknya berharap haiwan pemangsa berkenaan dapat ditangkap secepat mungkin bagi meleraikan ketakutan mereka.
Beliau berkata ini kerana jarak antara lokasi serangan dengan kawasan perumahan penduduk hanya sekitar satu kilometer.
“Sangkaan kami lembu itu pada awalnya hilang akibat dicuri namun tak sangka haiwan berkenaan dibaham ‘Pak Belang’.
“Kita harap sangat Perhilitan dapat tangkap harimau itu kerana kita takut jika dibiarkan akan ada penduduk yang diserang atau dibaham,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial