PUTRAJAYA, 19 Jan (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) tidak akan melindungi mana-mana pegawai dan anggota jabatan itu sekiranya didapati terlibat dalam perbuatan peras ugut di sebuah kilang di Kapar, Selangor.
Menurut JKDM dalam kenyataan hari ini, setiap dakwaan salah laku atau pelanggaran integriti termasuk jenayah rasuah yang melibatkan kakitangan jabatan tersebut sentiasa dipandang serius.
Berhubung kes yang tular di media sosial pada 30 Dis dan 14 Jan lepas, JKDM memaklumkan ia memberi komitmen penuh untuk bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan siasatan dilaksanakan dengan telus dan menyeluruh.
"Sebarang tindakan ke atas pegawai dan anggota yang terlibat hanya boleh ditentukan berdasarkan hasil daripada keputusan siasatan PDRM kelak.
"JKDM terus komited dalam melaksanakan tanggungjawab dengan berintegriti serta memastikan kepercayaan masyarakat terhadap jabatan ini sentiasa terpelihara," menurut kenyataan itu.
Terdahulu, satu video tular mendakwa beberapa individu mengaku sebagai pegawai kastam menyerbu sebuah kilang di Kapar, Klang dan mengambil wang berjumlah RM150,000 secara peras ugut.
Video berkenaan turut memaparkan salinan laporan polis serta rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang didakwa berkaitan kejadian itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial